suria

BN Perlu Lakukan Transformasi - Hishammuddin

SUNGAI SIPUT: Barisan Nasional (BN) perlu melalui proses transformasi untuk menjadi parti yang mewakili semua rakyat di negara ini, kata naib presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kelahiran gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan transformasi perlu dilakukan dan kuasa akan bermula dari peringkat akar umbi.

"Sama ada kita suka atau tidak, BN perlu ditransformasi...sama seperti yang kita buat di dalam Umno sebelum ini, di mana beberapa Perlembagaan telah diubah bagi menyesuaikannya dengan keadaan semasa.

"Kita kena ubah cara lama, bentuk serta imejnya, dengan beberapa pendekatan supaya dapat diterima rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sungai Siput di sini, pada Sabtu.

Hishammuddin berkata selepas Umno melakukan perubahan, parti komponen BN yang lain iaitu MIC telah menyatakan kesediaan untuk melakukan perkara yang sama.

Katanya masa untuk melakukan transformasi dalam parti komponen BN telah tiba dan ia perlu disegerakan.

Beliau berkata pemimpin di peringkat tertinggi Umno kini memantau kedudukan setiap bahagian melalui biro politik bagi memastikan parti itu sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya akan datang.

"Kita membuat pemantauan tentang Pilihan Raya Umum ke-13 supaya semua anggota sentiasa bersiap sedia," katanya.

Hishammuddin berkata selain Umno, semua anggota parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP, perlu sentiasa mendampingi orang ramai.

"Semua pemimpin kawasan dan bahagian juga perlu memikirkan bagaimana nak mendekati rakyat, bagaimana hendak mengekalkan perpaduan di kalangan penduduk dan bagaimana hendak kukuhkan parti dan BN," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain