suria

Pengebom Berani Mati Letup Diri, 50 Orang Terkorban di Pakistan

ISLAMABAD: Seorang pengebom berani mati telah meletupkan dirinya di satu kawasan bazar yang padat - membunuh sekurang-kurangnya 50 orang awam dekat sini pada awal Jumaat.

Kebanyakan mangsa telah dibawa ke sebuah hospital dekat Peshawar, sebuah bandar sempadan dengan Afghanistan tidak jauh dari sini.

Insiden penuh tragik itu berlaku dalam kawasan bazar yang dikenali sebagai Tehsil Yakaghund di wilayah puak Mohmand.

Para saksi menyatakan beberapa buah kedai rosak teruk akibat letupan tersebut. Bekalan elektrik ke kawasan tersebut juga dilaporkan terputus.

Agensi berita Xinhua melaporkan, pihak polis telah mengepung kawasan letupan.

Setakat ini, tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap letupan tersebut. Pihak polis menyifatkan letupan ini sebagai yang terbesar dan paling serius selepas insiden serangan pada 29 Jun 5 Julai baru-baru ini.

Pada 29 Jun, tiga pengebom berani mati telah meletupkan diri mereka di bandar Lahore, mengorbankan 47 orang awam dan mencederakan 175 lagi.

Manakala pada 5 Julai, satu lagi pengebom berani mati telah meletupkan dirinya di dalam sebuah kereta di hadapan pintu masuk sebuah kem tentera di Lower Dir dekat Barat Daya Pakitan membunuh satu trup tentera dan mencederakan 17 lagi.- Bernama

Artikel Lain