suria

PAS Anjur Sesi Pemukiman Bagi Nilai Sokongan Melayu

KUALA LUMPUR: Parti PAS pada Jumaat memulakan sesi pemukiman selama tiga hari di Port Dickson bagi membincangkan persediaan dan merangka strategi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali berkata pemukiman itu juga bertujuan membincangkan bagaimana menarik lebih ramai pengundi di kawasan luar bandar dan kawasan majoriti penduduk Melayu.

Katanya pemukiman itu dihadiri oleh semua pemimpin utama parti termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kesemua ahli Majlis Syura.

"Kita sepatutnya mengadakan sesi pemukiman ini pada tarikh lebih awal tetapi oleh kerana pilihan raya kecil Sibu (16 Mei), kita tangguh ke hari ini," katanya kepada Bernama.

Mustafa bagaimanapun tidak mendedahkan agenda pemukiman itu tetapi sumber parti memberitahu sesi itu akan membincangkan hasil kajian oleh Ilham Centre, sebuah firma penyelidikan bebas, mengenai usaha parti itu menarik pengundi Melayu dan pengundi di kawasan luar bandar.

PAS telah mendapatkan khidmat Ilham Centre untuk mengenal pasti kebimbangan pengundi Melayu khususnya di pantai timur dan selatan semenanjung dengan harapan untuk menembusi kawasan kubu kuat Umno.

Beberapa penganalisis politik percaya parti itu menghadapi kesukaran untuk menyampaikan mesej mengikut perspektifnya kepada pengundi luar bandar dan pengundi Melayu yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan Internet.

Manakala parti itu nampaknya menikmati sokongan meningkat di kalangan bukan Melayu namun ada ura-ura bahawa sokongan dari pengundi Melayu terhadap parti itu merosot sedikit.

Tugas PAS tidak akan mudah kerana parti itu akan bersaing dengan Perkasa, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak orang Melayu, yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali, yang kini menjadi popular sejak penubuhannya pada 2008.

Selain tu, akhbar lidah rasmi PAS, Harakah, juga menghadapi isu pembaharuan permit yang akan membatas kemampuannya untuk menyampaikan mesej kepada pengundi di kawasan luar bandar.

"Pada dasarnya, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali kembali kepada pengundi Melayu. Bagaimanapun, saya berpendapat objektif utama pemukiman itu adalah untuk mempersiapkan jentera pilihan raya parti itu," kata James Chin, seorang penganalisis politik. - BERNAMA

Artikel Lain