suria

MIC Tumpu Bina Masyarakat India Lebih Progresif Menjelang 2020

KUALA LUMPUR: MIC akan menumpukan untuk menyelesaikan masalah dan isu yang dihadapi masyarakat India dalam usaha mewujudkan masyarakat India yang lebih progresif menjelang 2020, kata Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu.

Beliau berkata untuk itu MIC akan membuat beberapa perubahan dalam masa terdekat termasuk menarik lebih banyak generasi muda menyertai parti itu demi kepentingan masa depan masyarakat tersebut.

Selain itu, menjelang tahun depan akan turut menyaksikan penyingkiran pemimpin parti yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek bernilai RM573,849 kepada 18 pesakit kronik di ibu pejabat MIC di sini, pada Jumaat.

Samy Vellu turut mengingatkan anggota dan pemimpin parti yang tidak melaksanakan tugas dengan baik supaya "keluar daripada parti" bagi memberikan peluang kepada orang lain berkhidmat untuk masyarakat India di negara ini.

Mengenai Perhimpunan Agung MIC ke-64 esok dan Ahad ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Presiden MIC itu berkata seramai 3,000 perwakilan dan pemerhati dijangka menghadiri perhimpunan itu yang dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara isu yang akan dibahaskan pada perhimpunan agung itu ialah mengenai hala tuju MIC, perubahan dan trasformasi yang telah dilakukan oleh parti sejak 2008, tugas dan tanggungjawab pemimpin di semua peringkat dan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13, katanya.

Samy Vellu berkata beliau juga akan menyentuh mengenai pembaharuan yang dibawa oleh Perdana Menteri dalam bidang politik, ekonomi, sosial serta kejayaan gagasan 1Malaysia dalam ucapannya esok. - BERNAMA

Artikel Lain