suria

Formula Pemberian Biasiswa JPA Adil Dan Telah Lama Diguna Pakai - Muhyiddin

ABUJA (Nigeria): Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata formula pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dipertikaikan sesetengah pihak telah diguna pakai sejak dahulu dan dibuat berdasarkan kriteria yang dilakukan secara adil.

Katanya perasaan tidak puas hati sesetengah pihak terhadap formula pemberian biasiswa itu muncul dalam keadaan sekarang walaupun kriteria pemberian biasiswa itu adil kerana pihak yang memerlukan biasiswa agak ramai dan kerajaan tidak mempunyai kemampuan untuk membiayai keseluruhan mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas pandangan pihak seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan wakil-wakil masyarakat India serta Cina berhubung penjelasan kementerian mengenai kriteria mereka yang layak menerima biasiswa tajaan JPA.

Laporan akhbar baru-baru ini menyebut GPMS dan Perkasa mahukan kuota biasiswa JPA kepada Bumiputera dikekalkan pada 60 peratus, masyarakat Cina pula mahu ia diberi berdasarkan merit manakala masyarakat India mahukan kuota untuk masyarakat mereka dinaikkan kepada 25 peratus daripada 10 peratus sebelum ini.

"Suara-suara daripada pihak-pihak itu menunjukkan tidak puas hati Bumiputera menerusi GPMS, Perkasa, bukan bumi masyarakat India dan sebagainya. Formula yang diputuskan itu merupakan formula yang boleh dikatakan adillah," katanya ketika ditanya sama ada kerajaan tidak akan berganjak daripada formula yang digunakan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian dalam sidang media di sini selepas menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 8 Negara Membangun (D-8) Ketujuh di sini semalam.

Beliau berkata kenyataan akhbar oleh kementerian berkenaan bagi menjelaskan beberapa kekeliruan mengenai kaedah pemberian biasiswa tajaan JPA untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi luar negara dibuat berdasarkan keputusan Kabinet dan beliau diarahkan berbincang dengan JPA.

"Dalam perbincangan dengan JPA, kita dapati bahawa asas yang telah digunakan munasabah," katanya.

Muhyiddin berkata sebelum penjelasan menerusi kenyataan akhbar itu dikeluarkan, beliau juga telah mempengerusikan satu mesyuarat bagi menjelaskan isu ini yang dihadiri oleh wakil-wakil daripada MCA, MIC dan parti komponen Barisan Nasional dari Sabah dan Sarawak.

"Dalam pertemuan itu, mereka berpendapat apa yang telah diputuskan oleh pihak JPA adalah bersesuaian berdasarkan kepada kemampuan kerajaan untuk menyediakan biasiswa itu.

"Sebab itu kita beri penjelasan supaya tidak ada pihak yang membangkitkan (isu itu)... pertamanya permohonan yang telah dikemukakan itu datangnya daripada jumlah yang besar," katanya.

Beliau berkata terdapat empat kategori bagi pemilihan penerima biasiswa JPA iaitu berdasarkan merit tanpa mengira kaum, berdasarkan kaum di mana sebahagian besarnya diberi kepada Bumiputera, dan pelajar-pelajar dari Sabah dan Sarawak supaya mereka tidak ketinggalan.

Kategori keempat ialah mereka yang dalam golongan miskin dan mempunyai keputusan kurang cemerlang akan diberi pertimbangan untuk menerima biasiswa ini.

Dalam kenyataan Selasa lepas, Muhyiddin berkata kerajaan menyediakan 1,750 biasiswa JPA untuk program penajaan Program Ijazah Luar Negara bagi lepasan SPM 2009 yang memperoleh keputusan cemerlang dalam sembilan mata pelajaran.

JPA telah menerima sebanyak 18,844 permohonan dan daripada jumlah itu, sebanyak 10,956 pemohon telah melepasi kelayakan minimum yang ditetapkan mengikut bidang pengajian.

Selain itu, Muhyiddin berkata para pelajar tidak boleh tertumpu kepada biasiswa JPA sahaja kerana ada lagi biasiswa yang boleh mereka mohon seperti Petronas, Mara dan beberapa Yayasan tertentu.

Ketika diminta mengulas sama ada kerajaan akan campur tangan dalam perbalahan antara Perkasa dan MCA, beliau berkata kerajaan tidak boleh campur tangan mengenai perbezaan pandangan antara MCA dan Perkasa dalam isu-isu tertentu tetapi yang penting jangan sampai menjejas soal keselamatan.

Mengenai kemungkinan akhbar Suara Keadilan terus diterbitkan walaupun lesennya tidak disambung oleh Kementerian Dalam Negeri, Muhyiddin berkata jika Suara Keadilan enggan mematuhi peraturan, akhbar itu mungkin menghadapi tindakan undang-undang. - BERNAMA

Artikel Lain