suria

Empat Kedai Dua Tingkat Musnah Dalam Kebakaran Awal Pagi Di Kuantan

KUANTAN: Empat kedai dua tingkat musnah dalam satu kebakaran di Jalan Mahkota di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Kuantan Mohd Ikhsan Mohd Ibrahim berkata tiga jentera dari Balai Bomba Kuantan, tiga dari Balai Indera Mahkota, dan masing-masing satu jentera dari Balai Gebeng dan Taman Tas bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada kira-kira pukul 2.30 pagi.

Beliau berkata kebakaran dipercayai bermula dari sebuah kedai kain sebelum merebak dengan pantas ke sebuah lagi kedai kain, sebuah premis pengurup wang dan kedai elektrik.

"Seramai 38 anggota bomba mengambil masa hampir dua jam bagi mengawal kebakaran di deretan kedai itu sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada kira-kira pukul 9 pagi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya ketika kejadian kesemua premis itu tidak berpenghuni dan punca serta tafsiran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu pemilik salah sebuah kedai kain yang musnah dalam kejadian itu Mohd Amir Sallai, 45, berkata beliau menganggarkan kerugian yang dialaminya menjangkau lebih RM500,000. - BERNAMA

Artikel Lain