suria

Empat Ditahan Kerana Disyaki Terbabit Kegiatan Ah Long Di Ipoh

IPOH: Polis menahan dua lelaki dan dua wanita yang disyaki terbabit dengan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen (Ah Long) dalam satu serbuan di sebuah rumah di Tambun di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata semua mereka yang berumur antara 20 dan 25 tahun yang berasal dari Tangkak, Johor itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam, hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata polis merampas beberapa dokumen dan barangan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan Ah Long, antaranya sebuah buah catatan rekod pinjaman wang, dua fail yang mempunyai senarai nama peminjam, 74 salinan kad pengenalan milik peminjam wang.

Bercakap kepada pemberita dalam satu persidangan akhbar di sini pada Jumaat, beliau berkata turut dirampas ialah 12 keping slip deposit wang, enam buah buku bank, wang tunai RM5,802, enam telefon bimbit dan 800 "banner" iklan mengenai pinjaman yang ditawarkan.

Katanya kumpulan Ah Long itu dipercayai mula aktif di sekitar bandaraya sejak Februari 2009 dengan memberi pinjaman pada kadar faedah yang amat tinggi, sehingga 120 peratus sebulan, dan siasatan juga mendapati kumpulan itu membuat kutipan menjangkau sehingga RM150,000 setiap bulan.

Zulkifli berkata kesemua mereka direman sejak ditahan, namun dua wanita itu sudah dibebaskan dengan ikat jamin polis pada Jumaat, manakala reman dua lelaki itu pula disambung sehingga Ahad ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Pemberi Pinjaman Wang 2003 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000, atau penjara tidak melebihi lima tahun, manakala bagi kesalahan kedua boleh juga dikenakan sebatan.

Orang ramai yang terlibat meminjam daripada Ah Long tersebut, atau mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu diminta supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak atau menelefon 05-5452252 bagi membantu siasatan.

Sementara itu menurut Zulkifli sepanjang tempoh enam bulan lepas, polis menerima 14 laporan berhubung kes meminjam wang daripada Ah Long, dan polis sedang menyiasat semua laporan itu. - BERNAMA

Artikel Lain