suria

Umno Ikhlas Bela Nasib Rakyat - Musa Aman

RANAU: Umno, parti politik terunggul negara, ikhlas dalam membela nasib rakyat, mempertahankan kesucian agama, bangsa dan negara, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata segala dakwaan pembangkang dan sekutunya yang sering mempertikai kewibawaan Umno adalah fitnah dan tohmahan politik semata-mata.

Dalam ucapannya pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan Umno bahagian Ranau di Dewan Masyarakat Ranau, di sini Khamis beliau berkata, Umno bukan parti "setahun jagung", sebaliknya merupakan sebuah parti yang banyak menabur bakti dan jasa terhadap nusa dan negara.

Menurutnya Umno yang selama ini membela nasib bangsa, terbukti terus menjadi sandaran kepada harapan anak muda untuk menentukan kejayaan negara pada masa depan.

Oleh itu, Musa berkata beliau mahukan supaya Umno Sabah turut menggerakkan jentera bagi mendekati golongan muda dan pengundi baru terutama melalui media baru teknologi maklumat (ICT).

Katanya langkah itu penting bagi memastikan mereka memahami dasar kerajaan dan mendapatkan maklumat yang tepat, sekaligus memantapkan sokongan gologan muda terhadap Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN). - BERNAMA

Artikel Lain