suria

Syarat Daftar Rumah Penjagaan Lebih Longgar

KUALA LUMPUR: Pemilik pusat penjagaan dan rumah perlindungan kini tiada lagi alasan untuk mendaftarkan premis mereka secara sah kerana melalui Akta Pusat Penjagaan 1993 yang dipinda 9 Jun lalu, semua pemilik yang berdaftar secara sah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mendapat tempoh sah lesen selama lima tahun, berbanding tempoh sah sebelum ini iaitu selama satu tahun sahaja.

Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Senator Heng Seai setelah pihaknya melihat rekod yang menunjukkan terdapat penurunan dari segi pendaftaran daripada pemilik pusat penjagaan dan rumah perlindungan.

"Mengikut rekod terdahulu, terdapat lebih 2,000 pemilik yang mendaftarkan pusat penjagaan mereka.

"Tetapi kini, berdasarkan rekod hanya 389 rumah penjagaan yang berdaftar secara sah dengan kementerian," katanya melalui satu sidang media khas yang diadakan di pejabatnya di Jalan Raja Laut, pada Rabu.

Pindaan ini juga tidak memerlukan pemilik premis pusat penjagaan memperbaharui lesen mereka setiap tahun seperti syarat yang dikenakan sebelum ini.

"Dengan kelonggaran yang diberi, tiada lagi alasan untuk mereka tidak mendaftar atau menangguhkan pendaftaran," katanya.

Mengulas tentang pengurangan jumlah pendaftaran yang dibuat oleh pemilik pusat penjagaan di negara ini, beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya penurunan besar seperti itu disebabkan pemilik pusat penjagaan terpaksa mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat terlebih dahulu sebelum mengemukakan pendaftaran secara sah dengan JKM.

Katanya, walaupun pihak JKM memutuskan untuk memberi kelonggaran tersebut, beliau tidak menafikan kerjasama daripada PBT juga diperlukan bagi membolehkan pemilik-pemilik rumah penjagaan yang masih belum mendaftar atau tidak memperbaharui lesen mereka untuk berbuat demikian.

Katanya, kelulusan daripada tiga agensi tersebut adalah di luar bidang kuasa JKM.

"Saya harap masyarakat dan pemilik rumah penjagaan tidak salah faham dan menuding jari terhadap JKM.

"Asalkan mereka dapat kelulusan daripada PBT, maka JKM dengan sendirinya akan memberi pengesahan kepada mereka," katanya.

Dalam hal ini, pihaknya juga sedar masalah dan cabaran yang dihadapi oleh PBT dalam usaha menyelesaikan perkara seperti ini.

Berdasarkan kajian, masalah utama yang dihadapi PBT ialah kesukaran mendapatkan persetujuan daripada jiran tetangga rumah penjagaan, selain terikat dengan peraturan-peraturan lain.

"Kita juga sedar PBT ada peraturan tertentu yang perlu dipatuhi. Mereka juga harus mengikut piawaian oleh setiap negeri yang mana syarat untuk setiap negeri adalah berbeza-beza," katanya.

Justeru, kementerian akan mengkaji semula syarat pendaftaran supaya dapat diwujudkan 'One Stop Centre' di peringkat JKM dan menyelaraskan semua agensi kerajaan bagi membolehkan mereka yang berkenaan mengetahui peraturan dan prosedur untuk mendaftar pusat penjagaan mereka.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada ibu-bapa dan mana-mana pihak yang menghantar ahli keluarga mereka atau mendapati adanya pusat penjagaan yang tidak berdaftar supaya membuat aduan di talian 15999.

"Jika kita terima aduan, kita akan segera menghantar pegawai untuk menyiasat rumah berkenaan," katanya.

Katanya, kelonggaran yang diberikan menunjukkan bahawa JKM masih mempunyai sifat bertimbang rasa terhadap pemilik pusat penjagaan yang tidak berdaftar.

Sehingga kini JKM tidak mengenakan sebarang caj terhadap pendaftaran yang dibuat.

Bagi permohonan lengkap, tempoh maksimum yang diambil untuk mendapat pengesahan JKM, mengikut piagam pelanggan adalah selama 21 hari.

Namun, bayaran 'ubah syarat' sebanyak RM1,500 hingga RM2,000 akan dikenakan oleh PBT terhadap pemilik yang ingin menjadikan kediaman sebagai pusat penjagaan.

Artikel Lain