suria

SSM Jejaki Bapa dan Anak Bantu Siasatan Skim Pelaburan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedang berusaha menjejaki seorang bapa dan anaknya bagi membantu siasatan terhadap sebuah syarikat yang dikatakan gagal memberikan pulangan keuntungan kepada pelabur sepertimana yang dijanjikan selepas tamat tempoh matang.

Pegawai Perhubungan Awam SSM Mohamad Shahren Mohamad Yusri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk menjejaki Manoharan a/l Kandan, 48, dan anaknya M.Kesavanmahe, 22, yang beralamat di No 1071 Jalan Lavender Heights 24, Taman Lavender Heights, Negeri Sembilan.

Beliau berkata syarikat berkenaan, Mahekhamay Agrotech Farms Group, disiasat berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai terhadap skim pelaburan penternakan lintah yang ditawarkannya.

Katanya, kebanyakan pelabur mendakwa mereka gagal memperolehi semula wang pelaburan serta pulangan keuntungan seperti yang dijanjikan selepas tamat tempoh matang.

"Pelabur gagal mengesan dan menghubungi penganjur skim pelaburan itu, siasatan dijalankan di bawah seksyen 366 (1) dan 363 (3) Akta Syarikat 1965," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mengetahui lokasi, alamat dan nombor telefon terkini kedua-dua lelaki itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat SSM Encik Luqman Baharam di talian 03-22995381 atau Pegawai Pegawai Penyiasat Kanan SSM Encik Baharudin Atan di talian 03-22995347. - BERNAMA

Artikel Lain