suria

Perantara Perasuah Didenda RM10,000

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dihukum penjara dan denda di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis selepas bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ menyogok seorang pegawai polis.

Hakim Mat Ghani Abdullah memerintahkan tertuduh, Mohamad Hasnor Ishak, 29, dihukum penjara 15 hari dan denda RM10,000, jika gagal dijelaskan, hukuman penjara ditambah lagi lima bulan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh yang masih bujang mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah RM890 kepada Asistan Superintendan Mohd Ashril Md Johar pada pukul 7.30 malam, 3 Julai lalu.

Mohd Ashril ialah seorang pegawai polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dekat sini.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap rakan tertuduh, Mohd Redzuan Nata, 27, yang ditahan atas kesalahan dadah jenis opiate (candu) dan mengedar heroin.

Tertuduh yang ditangkap selang dua hari selepas melakukan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam usaha meringankan hukuman, tertuduh memaklumkan bahawa dia sebenarnya hanya diarahkan untuk menghantar wang tersebut.

“Saya diarahkan oleh seorang lelaki Myanmar. Saya rayu hukuman diringankan kerana saya menanggung ayah yang tua di kampung. Mohd Redzuan juga masih ditahan polis,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ng Siew Wee pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan tertuduh.

Artikel Lain