suria

Peniaga Thailand Dihukum Gantung Edar Methamphetamine

KOTA BARU: Seorang peniaga kedai makan warganegara Thailand dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine, kira-kira empat tahun lepas.

Hakim Mohd Azman Husin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Abdullah Saopi, 46.

Bagaimanapun, Mohd Azman melepaskan dan membebaskan isteri Abdullah, Yanidah Maerohkachi, 41, daripada pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengedar dadah itu, kerana tiada bukti menunjukkan wanita itu terlibat dengan urusan jual beli dadah itu.

Abdullah didapati bersalah mengedar 76.39 gram dadah methamphetamine di Stesen Minyak Caltex di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang dekat Pasir Mas kira-kira 7.10 malam, 15 Disember 2006.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Abdullah diwakili peguam Latifah Ariffin manakala isterinya diwakili peguam Mohd Azmi Tan Abdullah sementara pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nooriah Osman. - BERNAMA

Artikel Lain