suria

Pengutip Hutang Mati Ditembak Ketika Tunggang Motosikal

RAWANG: Seorang pengutip hutang mati ditembak oleh seorang lelaki ketika beliau sedang menunggang motosikal di Jalan Garing Utama di sini kira-kira pukul 12 tengah hari, Khamis.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, S.Ramesh, 38, mati di tempat kejadian akibat dua das tembakan yang menembusi bahagian dadanya.

"Kami percaya suspek yang menaiki motosikal jenis Honda EX-5 itu mengekori Ramesh dari rumah sebelum menembaknya di tempat kejadian. Suspek kemudian melarikan diri menghala arah (bandar) Rawang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan pistol jenis automatik .9mm, dan menurutnya dua kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian.

Omar berkata, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan balas dendam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dengan menelefon 03-61262222 bagi membantu siasatan kes, yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Mayat Ramesh dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain