suria

Palsukan Daftar Kematian: Tiga Dipenjara Empat Tahun, Denda RM15,000

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki, termasuk seorang bekas atendan hospital, dipenjara empat tahun dan didenda RM15,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memalsukan daftar kematian, permit kubur dan sijil kematian penjenayah dikehendaki, Michael Soosai.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membuat keputusan itu selepas mendapati bekas atendan Hospital Kuala Lumpur (HKL) K Subramaniam, 33, peniaga besi lusuh V Sanjeev Kumar, 34, dan bekas tunang anak Soosai iaitu J Kumaresan, 28, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah di akhir kes pembelaan.

Mereka menghadapi empat pertuduhan iaitu memalsukan daftar kematian, memalsukan permit kubur, memalsukan sijil kematian dan menipu seorang doktor supaya mengeluarkan sijil kematian.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, mereka dihukum penjara empat tahun dan denda RM5,000 untuk setiap pertuduhan bagi tiap seorang, manakala bagi pertuduhan keempat, mereka dipenjarakan dua tahun.

Mohamad Sekeri yang memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak mulai hari ini, turut mengarahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara setahun bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun beliau membenarkan permohonan peguam Hasnal Rezua Merican untuk menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakimannya, Mohamad Sekeri menyifatkan keterangan Kumaresan sebagai rekaan, keterangan Sanjeev sebagai penafian dan keterangan Subramaniam sebagai pembetulan.

Beliau juga berpendapat keterangan saksi keempat pembelaan iaitu S Kumari, 45, yang juga isteri Soosai, amat meragukan.

Terdahulu, ketika memohon hukuman diringankan, Hasnal Rezua berkata ketiga-tiga tertuduh adalah pesalah pertama dan syarat ketat jaminan yang dikenakan terhadap mereka sudahpun menjadi pengajaran.

Timbalan Pendakwa Raya Syed Faizal Syed Amir pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan telah menyebabkan seorang penjenayah terlepas.

Katanya, perbicaraan kes itu telah mengambil banyak masa mahkamah, oleh itu, ketiga-tiga tertuduh tidak boleh dikenakan hukuman ringan walaupun mereka memberi kerjasama. - BERNAMA

Artikel Lain