suria

Kesihatan Ahli Parlimen Sibuti Bertambah Baik: Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Kesihatan Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang yang dibawa ke hospital selepas mengadu kurang sihat pada Rabu, kini semakin baik.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Ahmad hanya memerlukan rehat selama beberapa hari bagi mengawal tekanan darahnya.

"Saya telah melawatnya pukul 10 pagi tadi dan keadaan beliau kini bertambah sihat...tiada apa yang perlu dibimbangkan.

"Bagaimanapun, beliau akan terus ditahan kerana paras hemoglobin dalam darahnya masih tidak normal. Saya dimaklumkan paras hemoglobinnya adalah lapan berbanding paras normal 12," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Barisan Nasional itu dikejarkan ke hospital pada pukul 2.15 petang selepas mengadu tidak sihat ketika menghadiri Pesta Durian dan Promosi Daging Kambing anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan Serbaguna Parlimen.

Beliau kemudiannya ditempatkan di Unit Rawatan Jantung di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pembantu peribadinya Mansor Mahdar yang ditemui semalam berkata, majikannya kurang sihat kerana kemungkinan terlebih makan durian dan daging kambing pada pesta di Parlimen itu. - BERNAMA

Artikel Lain