suria

Kastam Rampas Rokok Putih, Minuman Keras Bernilai Lebih RM200,000

KUALA LUMPUR: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kuala Lumpur merampas rokok putih dan minuman keras seludup bernilai RM288,790 yang melibatkan cukai kira-kira RM1.6 juta dalam satu serbuan di Pelabuhan Klang, Rabu.

Timbalan Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) Ajip Busro berkata, bertindak atas maklumat yang diperoleh, pihaknya berjaya melumpuhkan kegiatan penyeludupan barang-barang yang belum diluluskan kastam itu kira-kira 12 tengah hari.

Katanya, seorang lelaki berumur lingkungan 26 tahun ditahan untuk membantu siasatan bagi mengesan individu atau syarikat yang terlibat.

"Setelah memeriksa kontena yang diimport dari Thailand itu, kita dapati ia didaftarkan sebagai 'Mould Base complete with Accessories'," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kontena tersebut sebenarnya memuatkan sebanyak 2,500,000 batang rokok jenama Luffman dan minuman pelbagai jenama sebanyak 15,600 liter.

"Setelah kita periksa, rokok-rokok itu tidak mempunyai sebarang setem cukai mahupun dakwat keselamatan dan pada kotak-kotak itu hanya dicap dengan gambar amaran kesihatan, maklumat kesihatan dan kawalan jualan sahaja.

"Minuman keras yang diletak dalam kontena telah sedia dilekatkan setem cukai yang melambangkan ia untuk tujuan edaran kawasan bebas cukai dan bir dicetak timbul dengan HKDNP/MDNP yang menunjukkan ia untuk pasaran eksport," katanya.

Ajip berkata, adalah disyaki kesemua dagangan tersebut dibawa keluar dari kawasan bebas cukai untuk diseludup ke kawasan utama kastam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan membuat perakuan yang palsu dan tidak benar, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain