suria

Kanak-Kanak Mati Lemas Tergelincir Ke Dalam Sungai

YAN: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun mati lemas selepas tergelincir ke dalam sungai ketika sedang melihat beberapa penduduk kampung memancing di Sungai Titi Teras dekat sini petang Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Muhammad Hafiz Zamzuri dan abangnya Muhammad Fitri Zamzuri, 10, baru keluar dari rumah datuk mereka di Kampung Kepala Bukit dekat sini untuk bersiar-siar.

Muhammad Fitri berkata ketika bersiar-siar, dia dan adiknya menaiki basikal secara berasingan dan kemudian berhenti di tepi sungai itu untuk melihat penduduk memancing.

"Adik saya yang berada di belakang saya memberhentikan basikalnya sambil meletakkan sebelah kakinya di bahagian tepi titi sungai itu sebelum tergelincir ke dalam sungai sedalam kira-kira dua meter itu," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Yan di sini pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak Hasbullah Mohd Isa berkata operasi mencari dan menyelamat melibatkan sembilan anggota dari balai itu serta lapan anggota Unit Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dijalankan dan menemui mayat Muhammad Fitri kira-kira pukul 9.30 pagi Khamis.

" Operasi mencari dan menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama penduduk kampung dimulakan petang semalam sebelum dihentikan sementara kira-kira pukul 11.30 malam Rabu," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa ditemui dalam keadaan sebahagiannya tertimbus di dasar sungai kira-kira 100 meter dari tempat mangsa terjatuh.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Yan untuk dibedah siasat dan akan dikebumikan di Kampung Kepala Bukit petang ini. - BERNAMA

Artikel Lain