suria

Kadar Banduan Berulang Kali Masuk Penjara Di Malaysia Lebih Baik

KUALA LUMPUR: Kadar kes banduan di negara ini yang berulang kali masuk ke penjara adalah lebih baik berbanding dengan negara lain, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata pada tahun lepas jumlah banduan berulang kali masuk penjara hanya 16.8 peratus daripada keseluruhan 78,360 banduan sabitan, berbanding dengan negara lain termasuk United Kingdom (59 peratus), Kanada (44 peratus), New Zealand (42 peratus) dan Australia (34.1 peratus).

Selain itu, peratus kes banduan berulang juga semakin berkurangan pada tahun sebelumnya di mana pada tahun 2008, kes banduan berulang adalah 17 peratus daripada 75,572 banduan sabitan, pada 2007 sebanyak 23 peratus daripada 81,884 banduan sabitan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini Khamis.

Dr Siti Mariah dalam soalannya menanyakan jumlah banduan dan penjara seluruh negara dan peratusan banduan yang telah dibebaskan dan kembali dipenjarakan semula kerana mengulangi perlakuan jenayah.

Hishammuddin juga berkata: "Daripada peratusan yang dinyatakan, didapati pada tahun 2008 dan 2009, kadarnya adalah lebih rendah daripada sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu sebanyak 17 peratus."

Beliau berkata berdasarkan statistik yang berakhir pada 24 Mei lepas, terdapat 34,774 banduan sedang ditahan atau menjalani hukuman di 31 penjara.

"Jabatan Penjara melalui Pelan Pembangunan Insan sentiasa berusaha meningkatkan latihan dan pemulihan yang diberikan kepada penghuni supaya mereka benar-benar insaf, pulih, terlatih, berkemahiran, boleh berdikari dan tidak mengulangi kesalahan," katanya.

Beliau berkata keberkesanan pemulihan yang diberikan kepada banduan dijangka dapat mengurangkan kadar kemasukan semula banduan yang dibebaskan ke penjara. - BERNAMA

Artikel Lain