suria

Jawatankuasa Kabinet Pastikan Kejayaan Kaum India - Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan pelbagai usaha dan program bagi memastikan masyarakat India di negara ini dapat mencapai kejayaan berterusan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri, yang mempengeruskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Masyarakat India, berkata jawatankuasa itu komited bagi memastikan program yang dirangka akan memberi manfaat dan mampu membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang lebih kuat.

"Kita mahu pastikan 'Ore Malaysia' (1Malaysia) itu bukan satu retorik tetapi merupakan prinsip panduan untuk membentuk sebuah negara yang lebih makmur, bersatupadu dan mantap," katanya ketika berucap pada majlis 'Sepetang Bersama Perdana Menteri' anjuran akhbar Malaysia Nanban.

Majlis itu bagi menghargai kejayaan pelajar India yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 di sini, malam tadi.

Najib berkata kerajaan mengambil berat terhadap semua kaum di negara ini termasuk kaum India di mana peruntukan yang lebih besar diberikan tahun ini untuk sekolah Tamil berbanding sebelum ini.

"Saya tahu ia (peruntukan) yang diberikan masih tidak cukup, kerana dalam pendidikan sentiasa wang tidak cukup untuk memenuhi semua keperluan dan syarat anda. Tetapi apa yang penting ini merupakan petanda bahawa kerajaan mengambil berat pada semua, tanpa mengira bangsa dan agama.

"Kita mahu semua mencapai kejayaan semaksima mungkin, dengan itu barulah kita dapat mencapai keadilan sosial. Saya percaya melalui pendidikan kita boleh mencapai lebih banyak untuk negara ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, untuk mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi, semua pihak harus menyokong usaha untuk mencapai kejayaan dan melahirkan pelajar cemerlang dan berjaya, termasuk di kalangan masyarakat India.

Untuk itu, katanya, pencapaian pelajar di semua sekolah harus diberi tumpuan bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang ketinggalan dalam sistem pelajaran di negara ini.

Najib berkata ini penting bagi mengelak berlakunya 'the future poor', iaitu golongan yang hidup susah kerana tidak mempunyai pelajaran secukupnya setelah terkandas di peringkat sekolah menengah.

"Kalau mereka tidak menjadi 'the future poor', golongan ini mungkin akan menjadi sebahagian daripada masalah sosial di negara ini, " katanya.

Dalam pada itu dalam nada yang lebih tegas, Najib mengingatkan pengamal media di negara ini agar tidak terlalu berpolitik dan bercakaran antara satu sama lain di dada akhbar sehingga mengenepikan tanggungjawab mereka untuk kepentingan rakyat.

"Pihak media perlu sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhan dalam setiap laporan yang disiarkan. Jangan mensensasikan isu politik sehingga mengenepikan kepentingan masyarakat dan negara," katanya.

Najib berkata media perlu menjadi mekanisme yang boleh membantu membentuk pemikiran rakyat dan menyampaikan maklumat-maklumat penting yang boleh membantu meningkatkan kehidupan masyarakat.

Pada majlis itu Najib menyampaikan sijil anugerah cemerlang kepada 193 pelajar daripada kaum India yang berjaya dalam SPM 2009. -BERNAMA

Artikel Lain