suria

Geng Ah Guan Tumpas, Lima Wanita China Ditahan

KUALA LUMPUR: Kegiatan geng pecah rumah "Ah Guan" yang didalangi seorang lelaki tempatan terbongkar selepas polis berjaya menahan 13 orang, termasuk lima warga China dan merampas hasil samun bernilai kira-kira RM80,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah berkata, hasil serbuan bermula awal bulan ini sehingga semalam di beberapa rumah di sekitar Cheras dan Ampang, enam lelaki dan tujuh wanita termasuk lima daripadanya warganegara China berumur 27 hingga 40 tahun ditahan.

"Hasil serbuan ini juga, kita telah merampas pelbagai barangan yang dipercayai hasil curi antaranya lapan buah TV LCD, 16 telefon bimbit, 58 utas jam tangan, sebuah peti sejuk, sebuah komputer, wang tunai bernilai RM5,000 dan tiga buah kereta mewah.

"Peralatan untuk memecah rumah seperti tukul besi, pemotong dawai dan beberapa batang kuku kambing turut dirampas," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, tangkapan pertama dilakukan awal bulan ini di sebuah kondominium di Cheras, membabitkan seorang wanita tempatan, yang didapati menggunakan kad kredit, dilaporkan hilang hujung bulan lepas.

"Hasil siasatan ke atas wanita itu membawa polis ke sebuah rumah di Hulu Klang, Ampang dan menahan dua lagi lelaki dan seorang wanita pada 6 Julai. Serbuan ketiga iaitu semalam membabitkan penahanan dalangnya yang digelar 'Ah Guan', tiga lagi lelaki serta lima wanita warganegara China," katanya.

Abdul Rahim berkata, kesemua lima wanita warganegara China sedang disiasat penglibatan mereka dalam kegiatan itu memandangkan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong.

Beliau berkata, satu daripada tiga buah kereta mewah yang dirampas iaitu BMW, dipercayai disewa kumpulan berkenaan untuk meronda rumah kosong bagi tujuan pecah rumah manakala dua lagi masih dalam siasatan.

Beliau berkata, polis percaya dengan tertangkapnya geng Ah Guan yang memulakan kegiatan sejak awal tahun ini, dapat menyelesaikan antara 20 hingga 30 kes pecah rumah sekitar Ampang dan Cheras.

"Kesemua suspek, termasuk Ah Guan yang berusia dalam 40-an dan mempunyai rekod lampau bersabit penyalahgunaan dadah dan pecah rumah itu, direman empat hari bermula hari ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain