suria

Tidak Berlaku Pembuangan Pekerja Jika Carrefour Henti Operasi

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberi jaminan tidak akan berlaku pembuangan pekerja jika pasar raya Carrefour menghentikan operasinya di negara ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun tidak dapat mengesahkan laporan yang menyatakan Carrefour mahu menutup operasinya termasuk di Malaysia kerana perkara itu masih tidak dimaklumkan secara rasmi kepadanya.

Agensi berita Reuters sebelum ini melaporkan Carrefour telah memulakan penjualan unit-unitnya di Malaysia, Thailand dan Singapura serta merancang untuk menghentikan operasinya di ketiga-tiga negara itu.

"Saya tak boleh kata 'no' (tidak) dan saya tak boleh kata 'yes' (ya) sebab tidak ada kenyataan rasmi dari Carrefour dan kalau betul nak jual sekalipun, penjualan dan pembelian itu mesti mendapat kelulusan dari kementerian.

"Kalau ada apa-apa berlaku, kita akan pastikan pekerja tidak akan terlibat dari segi pembuangan...," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) di sini, pada Rabu.

Ismail Sabri berkata beliau akan meminta Ketua Setiausaha kementerian mendapatkan penjelasan daripada Carrefour berhubung laporan itu.

"Kementerian sentiasa menerima permohonan daripada syarikat-syarikat pasar raya besar untuk membuka cawangan di Malaysia, malah bulan lepas masih ada permohonan dari Carrefour untuk buka outlet yang baru, sebab itu saya kata kita perlu tunggu," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat MPKK bersetuju supaya koperasi melibatkan diri dalam sektor kesihatan seperti menubuhkan klinik dan menyediakan pusat hemodialisis.

Beliau berkata di negara lain seperti Jepun, koperasi terlibat secara langsung malah ada hospital yang ditubuhkan oleh koperasi.

Turut dibincang dalam mesyuarat MPKK ialah mengenai Dasar Koperasi Negara Kedua (DKN2) yang akan bermula pada 2011 hingga 2020, bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat terutama anggota koperasi. -BERNAMA

Artikel Lain