suria

Suara Keadilan Angkuh Untuk Teruskan Penerbitan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan kenyataan untuk meneruskan penerbitan akhbar Suara Keadilan sebagai angkuh dan bercanggah dengan peraturan.

Katanya, tidak timbul isu menarik semula permit penerbitan kerana yang menjadi isu pada masa ini adalah permit akhbar itu telah tamat tempoh dan permohonan untuk menyambung semula permit belum diluluskan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua semalam bahawa penerbitan akhbar itu akan diteruskan, di lobi Parlimen di sini pada Selasa.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Zaitun Ab Samad dalam satu kenyataan pula berkata, PKR akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya terus menerbitkan akhbar Suara Keadilan yang permit penerbitannya sudah tamat.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut menjelaskan bahawa kementerian tidak mendiskriminasi mana-mana pihak mengenai isu penerbitan.

"Tidak kira Suara Keadilan, Suara Perkasa atau mana-mana media lain mesti mengikut syarat-syarat, peraturan sedia ada. Dalam konteks dasar, semua liputan termasuk majalah dan akhbar tabloid akan dipantau dengan lebih dekat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain