suria

Polis Pantau Klinik Dan Hospital Kesan Penjenayah Yang Lari

KUANTAN: Polis membuat pemantauan rapi di semua klinik dan hospital bagi mengesan seorang suspek yang melarikan diri selepas memecah masuk rumah banglo milik exco kerajaan Pahang di Taman Pantai Selamat di sini awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusof berkata lelaki itu dipercayai cedera parah selepas terkena tembakan polis dan mungkin cuba mendapatkan rawatan di hospital atau klinik.

"Siasatan masih diteruskan dan sentiasa dipertingkat sehingga suspek itu berjaya ditangkap," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek atau sesiapa sahaja yang berada dalam keadaan mencurigakan agar segera menghubungi polis.

Dalam kejadian samun pada pukul 3 pagi semalam, empat lelaki ditembak mati manakala seorang melarikan diri.

Ketika kejadian Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang Datuk Wan Adnan Wan Mamat bersama enam anggota keluarga dan dua pembantu rumahnya berada dalam rumah itu. - BERNAMA

Artikel Lain