suria

Najib Amalkan Dua Prinsip Penting Dalam Pentadbiran

SINTOK: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dua prinsip penting menjadikan kehidupan rakyat lebih baik setiap hari serta memulihkan ekonomi negara ke arah mencapai pertumbuhan sihat dan mapan menjadi keutamaan dalam pentadbiran beliau untuk memakmurkan negara.

Perdana Menteri berkata kedua-dua perkara itu penting bagi beliau dalam mentadbirkan kerajaan kerana beliau mahukan kehidupan rakyat sentiasa lebih baik manakala ekonomi negara pula digerakkan dan berada semula pada landasan pertumbuhan yang sihat dan mapan.

"Berasaskan prinsip ini, saudara-saudari adalah sasaran paling tepat untuk menikmati kejayaan ini sekiranya bersedia membuat anjakan minda mulai sekarang," kata beliau dalam ucapannya yang disiarkan bagi mengalukan pelajar-pelajar baru institusi pengajian tinggi hari ini.

Rakaman ucapan beliau itu disiarkan buat kali pertama sempena majlis amanat pelajar baru Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memulakan pengajian sesi 2010/2011 di kampus Sintok di sini.

Naib Canselor UUM Prof Dr Mustafa Ishak menyampaikan amanat yang dihadiri 4,667 pelajar baru serta pensyarah dan pihak pengurusan UUM di Dewan MAS.

Mengenai Wawasan 2020, Najib berkata satu bentuk transformasi perlu dilaksanakan untuk merealisasikannya kerana masa 10 tahun yang tinggal tidak lama.

"Kita masih jauh untuk mencapainya tetapi mampu melakukannya dengan cara luar biasa jika boleh membuat anjakan paradigma iaitu dengan memberi penekanan kepada 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," katanya.

Beliau berkata Program Transformasi Kerajaan dan program Transformasi Ekonomi dilancarkan bagi menunjangi segala usaha ke arah mencapai wawasan itu.

"Transformasi ekonomi dilaksanakan melalui dua inisiatif ekonomi bagi memeta halatuju jangka panjang, sederhana dan jangka pendek negara yakni Model Baru Ekonomi serta Rancangan Malaysia ke-10," kata Najib.

Mengenai kehidupan di kampus, Perdana Menteri berkata Malaysia menuntut pelbagai kaum bersikap positif khususnya hubungan antara etnik yang menjadi kunci utama perpaduan dan semangat toleransi terutama generasi muda.

Najib berkata setiap pelajar perlu berusaha menyemarakkan keyakinan diri dan menggunakan daya intelek mereka dengan cara kreatif serta inovatif, dan menambah masa tiga hingga empat tahun di universiti harus digunakan sebaik mungkin.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha menyediakan eko sistem intelektual terbaik agar setiap rakyat berpeluang ke universiti dan dapat mengembangkan potensi serta bakat mereka secara optimum bagi merealisasikan hasratmenjadikan Malaysia negara maju serta berpendapatan tinggi.

"Imbangilah pelajaran dan kehidupan sosial di kampus dengan kekuatan pegangan agama. Insya-Allah tuan-tuan dan puan-puan akan berjaya mendapat ijazah, menjadi seorang intelek berwawasan murni dan bercitra global untuk memacu negara ini," kata Perdana Menteri. -BERNAMA

Artikel Lain