suria

MCA Terima Maklumat Baru Kanak-kanak Dilarikan Bapa

KUALA LUMPUR: Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Michael Chong telah menerima maklumat terbaru tentang kehilangan Nicole Soo Siew Qing, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dipercayai dilarikan oleh bapanya sejak 26 Jun lalu.

Chong berkata selepas menerima aduan dari Kristina iaitu ibu Nicole tentang kehilangannya pada Isnin lepas, beliau menerima banyak maklumat dari orang ramai.

"Saya baru sahaja mendapat maklumat daripada dua orang awam dan mereka benar-benar memberi kerjasama dan membantu. Saya yakin mereka tidak mereka-reka cerita," katanya kepada pemberita di Wisma MCA di sini pada Rabu.

"Saya akan membuat laporan polis dan mendapatkan pandangan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar tentang perkara ini," katanya lagi.

Kristina, 34, yang turut hadir pada sidang media itu berkata suaminya Soo Kian Keong, 35, membawa Nicole keluar dengan alasan untuk membeli makanan tengahari dan mereka berdua tidak pulang ke rumah sejak hari itu.

Soo yang pernah bekerja sebagai pemandu lori dipercayai melarikan Nicole untuk menjual anaknya bagi melunaskan hutang judinya.

Kristina yang ditinggalkan dengan anak lelakinya yang berusia sembilan bulan berkata suaminya tidak pernah memberikan wang perbelanjaan rumah sebaliknya hanya membelikan makanan di gerai untuknya dan anak-anak.

"Dia pernah berkata kepada saya dia hendak menjual anak perempuan kami untuk melangsaikan hutang judinya dan mahu pergi ke New Zealand untuk bekerja sebagai pemetik buah. Saya percaya dia rancang untuk melarikan Nicole dan bawa sijil dan pasportnya sekali," katanya.

Kristina yang beragama Kristian dan berasal dari Jawa Timur telah berkahwin dengan Soo sejak tiga tahun lepas tetapi kini mahu membuat tuntutan cerai.

Katanya MCA sudi membiayai perbelanjaan bagi membolehkan beliau dan dua anaknya pulang ke kampung halamannya di Indonesia. -BERNAMA

Artikel Lain