suria

Majlis Peguam Mahu Pindaan Akta Mahkamah Rendah Ditangguh

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan pindaan Akta Mahkamah Rendah 1948, yang antara lain, mencadangkan supaya bidang kuasa had kewangan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret ditingkatkan.

Naib presidennya Lim Chee Wee berkata pindaan itu mempunyai kesan meluas terhadap litigan, dan jika diterima tanpa kajian lebih mendalam, ia akan mendatangkan kesan buruk kepada golongan tersebut.

Beliau berkata Majlis Peguam yang mewakili kira-kira 13,000 pengamal undang-undang juga tidak dirujuk atau diberi peluang memberikan input atau pandangan berhubung pindaan itu yang telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi menangani isu yang timbul akibat pindaan akta berkenaan, katanya.

Sehubungan itu, Majlis Peguam akan menyerahkan satu memorandum berhubung perkara itu kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang menggariskan pendiriannya serta sebab pindaan akta berkenaan perlu ditangguhkan.

Lim berkata antara keraguan Majlis Peguam ialah masa yang terlalu pendek bagi pegawai kehakiman berada di mahkamah rendah, selain mereka mempunyai pengalaman kurang yang kelihatan tidak begitu bersedia untuk mempertimbangkan pemberian remedi yang adil, membabitkan prinsip undang-undang yang kompleks, mengenai sesuatu kes, yang mampu memberi kesan serius kepada litigan.

"Pindaan yang dicadangkan juga bakal memberi bidang kuasa tambahan kepada Mahkamah Sesyen, dengan membenarkannya membuat remedi seperti injunksi dan deklarasi, yang kami percaya berpotensi mendatangkan kesan buruk akibat keputusan kurang bijak atau salah," katanya.

Beliau berkata cadangan bagi meningkatkan bidang kuasa dalam had kewangan Mahkamah Sesyen daripada RM250,000 kepada RM1 juta, sementara Mahkamah Majistret daripada RM25,000 kepada RM100,000 adalah "suatu peluasan yang cukup besar dan secara tiba-tiba, mewakili peningkatan sebanyak empat kali ganda, dan ia terlalu besar."

Lim juga mempersoalkan keupayaan mahkamah rendah sedia ada menangani beban tugas yang bakal bertambah ekoran pindaan akta berkenaan.

"Pengagihan sumber juga merupakan isu penting, kerana peningkatan beban tugas turut menagih peningkatan bilangan hakim dan infrastruktur mahkamah," katanya.

Beliau juga berkata pindaan yang dicadangkan itu tidak menyediakan sebarang butiran mengenai kebimbangan yang disuarakan akan ditangani.

Ditanya sama ada Majlis Peguam dirujuk sebelum pindaan digubal, Lim berkata pihaknya hanya dimaklumkan sebulan lepas dan tidak pernah dipanggil untuk berbincang ataupun diminta pandangannya.

"Baru-baru ini, beberapa isu yang menyentuh secara langsung litigan telah tidak dirujuk kepada Majlis Peguam, termasuk isu mengenai waktu mahkamah beroperasi, yang dipercepatkan kepada 8.30 pagi," katanya.

Sementara itu, setiausaha Majlis Peguam George Varghese berkata, walaupun ia tidak menentang perluasan bidang kuasa had kewangan mahkamah rendah selepas 16 tahun, kajian terperinci adalah penting bagi memastikan pindaan itu tidak akan mengakibatkan litigan menghadapi kesukaran atau memberikan tekanan tidak wajar terhadap struktur serta sumber mahkamah rendah sedia ada.

"Suatu peningkatan secara beransur-ansur merupakan langkah yang lebih sesuai dan realistik, yang akan menyebabkan lebih sedikit kesan buruk terhadap keupayaan mahkamah rendah menangani dan melupuskan sesuatu tuntutan dengan lebih efektif dan efisien," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain