suria

Komputer Syarikat Pelancongan Dicuri

KUALA LUMPUR: Komputer, peralatan pejabat dan pasport lazimnya menjadi tumpuan pencuri apabila memecah masuk pejabat agensi pelancongan.

Namun, lain pula ceritanya bagi syarikat Irna Yakin Travel and Tours di Taman Melati Utama, Gombak yang hanya kehilangan komputer dan perisian di bilik memproses visa umrah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai didalangi orang dalam syarikat terbabit berdasarkan ketiadaan sebarang kesan pecah masuk yang ketara.

Katanya, pemeriksaan di premis itu menemui hanya sedikit kesan umpilan pada pintu bilik memproses visa umrah, manakala komputer lain di pejabat itu langsung tidak disentuh.

Pengurus besar syarikat pelancongan itu Md Roslan Mohammad Jaafar berkata kejadian hanya disedari 8.30 pagi tadi apabila pekerjanya masuk ke pejabat, dan kerugian dianggarkan sebanyak RM11,000.

Katanya, pihak syarikat telah membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju. Md Roslan berkata apa yang membimbangkan ialah komputer yang dicuri mengandungi dokumen dan data penting berkaitan jemaah yang dijadual berlepas ke Tanah Suci pada bulan ini dan Ogos.

Walau bagaimanapun, insiden berkenaan tidak menjejaskan perjalanan mereka bagi menunaikan umrah, katanya.

"Pesanan saya kepada semua pelanggan Irna Yakin Tarvel supaya jangan bimbang dan tidak yakin dengan Irna Yakin. Kami akan ambil langkah seperti memasang CCTV," katanya kepada Bernama di sini, pada Rabu. -BERNAMA

Artikel Lain