suria

Kes Darling Didakwa Guna Cagaran Palsu Didengar 29 September

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pelakon dan penerbit, Nasreen Ngasri atau lebih dikenali dengan panggilan Darling yang didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai cagaran berharga akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada September ini.

Hakim Jagjit Singh menetapkan perbicaraan berjalan selama dua hari bermula 29 September depan selepas membenarkan permohonan penangguhan yang dibuat peguam Darling, Amir Feisal Ariff.

Jagjit juga melanjutkan jaminan Darling sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin yang telah ditetapkan pada prosiding lalu.

Terdahulu, Amir Feisal memohon perbicaraan yang telah dijadualkan berjalan selama tiga hari itu ditangguhkan kerana pihaknya masih menunggu jawapan kepada representasi yang dihantar kira-kira sebulan yang lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Aishah K.M Abu Bakar pula memaklumkan pihaknya bersedia untuk menjalankan perbicaraan.

Semasa ditemui, Amir Feisal enggan menjawab soalan yang diajukan atas alasan tidak mendapat arahan daripada anak guamnya berhubung perkara tersebut.

Darling, 27, yang hadir dengan mengenakan baju kurung berbunga oren pula sekadar mengucapkan terima kasih kepada media.

Dia ditemani suami, Nur Azlin Rahmat, 34, dan juga ibu bapanya, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar.

Pada 6 Februari lalu, Darling mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan dokumen cagaran berharga palsu iaitu 'Director's Circular Resolution Nasridz Pictures Sdn. Bhd.' bertarikh 16 Ogos 2007.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di RHB Bank Bhd, Jalan Tun Razak di sini pada 16 Ogos 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Artikel Lain