suria

Bukti RPK Ditaja: Zahrain Sedia Kemuka Bukti Kepada Polis

KUALA LUMPUR: Bukti yang mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) membiayai perbelanjaan penulis blog Raja Petra Kamaruddin di London telah diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, kata Anggota Parlimen Bayan Lepas Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Katanya beliau telah menyerahkan bahan bukti itu yang berbentuk kandungan e-mel kepada Nazri dan beliau sendiri sedia disoal siasat oleh polis berhubung perkara itu.

"Saya sudah bagi dokumen itu kepada Nazri. Bukti itu nanti akan didedahkan pada masa yang sesuai dan menteri pun saya percaya dia sedia disiasat polis dan saya pun bersedia jika polis nak jumpa (saya) dan bincang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sabtu lepas, Nazri berkata kerajaan mempunyai bukti bahawa Raja Petra, yang melarikan diri ke luar negara, dibiayai oleh PKR di London.

Zahrain berkata beliau berharap kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan terperangkap dengan permainan politik PKR khususnya yang melibatkan isu Raja Petra dan penyiasat persendirian P.Balasubramaniam.

Sehubungan itu, beliau memuji keputusan SPRM baru-baru ini untuk tidak menghantar pegawainya ke London bagi mengambil keterangan Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Tahniah kepada SPRM kerana tidak pergi ke London jumpa Balasubramaniam. Kita pun tahu kalau pergi pun apa yang Balasubramaniam akan dedah sebenarnya adalah kata-kata atau skrip yang telah dibuat oleh peguam.

"Sebenarnya peguam ini ialah peguam PKR yang rapat dengan Anwar," katanya. Zahrain juga menggesa Anwar dan Ketua PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa mempunyai hubungan baik dengan kedua-duanya supaya meminta Balasubramaniam dan Raja Petra pulang ke Malaysia. "Kalau mereka ini adalah pemimpin negara yang bertanggungjawab, mereka harus nasihat dan meminta supaya kedua-dua mereka pulang ke Malaysia dan berdepan dengan sesiapa sahaja," kata Zahrain.

Zahrain juga menyokong kenyataan Anggota Parlimen Bebas Wee Choo Keong mengenai peranan Anwar dan Zaid dalam kes yang melibatkan Raja Petra dan Balasubramaniam, kerana menurutnya, "mereka ini rapat".

"Beberapa akhbar juga telah mengeluarkan gambar mengenai sahabat-sahabat akrab ini di London. Duduk di London bukannya murah, ia melibatkan kos yang tinggi, saya percaya mereka ada orang yang taja," kata Zaharain. -BERNAMA

Artikel Lain