suria

Ulama Muda, Arkitek Cabar Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan

PUTRAJAYA: Seorang ulama muda yang menyertai Umno baru-baru ini dan seorang arkitek memperoleh kebenaran dari Mahkamah Persekutuan untuk mencabar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang mewajibkan mereka mendapatkan tauliah untuk mengajar agama.

Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Tan Sri Alaudin Mohd Sherif, Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Tan Sri James Foong hari ini membenarkan permohonan petisyen yang difailkan Fathul Bari Mat Jahya, 30, dan Nik Amirul Nik Md Yusof, 25 tahun. Bagaimanapun, tarikh pendengaran permohonan itu masih belum ditetapkan.

Fathul Bari dan Nik Amirul yang menamakan MAINS, kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Malaysia sebagai responden memfailkan permohonan petisyen bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan adalah terbatal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan notis usul, mereka menghujahkan bahawa mengajar agama tanpa tauliah bukanlah satu kesalahan di bawah rukun, prinsip dan peraturan di dalam Al-quran dan Sunnah yang menjadi petunjuk Islam.

“Oleh itu, Seksyen 53(1) enakmen jenayah tersebut bukan satu kesalahan terhadap ajaran Islam dan oleh itu Mahkamah Syariah Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghukum kesalahan itu di bawah seksyen tersebut,” tambahnya.

Selain itu, turut dinyatakan, Seksyen 53(1) enakmen tersebut yang mewajibkan tauliah kepada semua individu, sama ada Muslim atau tidak adalah bertentangan dengan Artikel 74(2) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Fathul yang merupakan anak kepada bekas mufti Perlis, Datuk Mat Jahya Hussin dan Nik Amirul ditahan pada Mac lalu semasa menyampaikan ceramah di sebuah pusat pengajian Islam di Kuala Pilah,Negeri Sembilan.

Mereka didakwa atas tuduhan mengajar tanpa tauliah mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembila di mana mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Selain itu, mahkamah juga membenarkan supaya saman pemula Fathul Bari dan Nik Amirul terhadap MAINS di Mahkmah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan ditangguhkan sehingga prosiding di sini selesai.

Artikel Lain