suria

Rogol: Lagi Tujuh Remaja, Wanita Penan Tampil

KUALA LUMPUR: Tujuh lagi remaja dan wanita Penan tampil untuk menceritakan pengalaman dakwaan mereka dirogol, menurut Kumpulan Sokongan Penan dalam laporan terkininya.

Laporan bertajuk 'Konteks lebih meluas eksploitasi seksual di kalangan wanita dan remaja Penan di Pertengahan dan Ulu Baram, Sarawak Malaysia' oleh sekumpulan 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), diumumkan di Parlimen, Selasa.

Penyelaras dokumentasi dan pemantauan Suara Rakyat Malaysia, John Liu berkata, berikutan penemuan Laporan Pasukan Bertindak Kebangsaan September lalu, sekumpulan NGO mengambil keputusan membuat penyiasatan lanjut.

Ia bertujuan meninjau keadaan sebenar di Sarawak dan mendapati lebih ramai wanita Penan dan keluarga mereka ingin berkongsi masalah sama.

"Kami terdorong untuk mencatatkan bukti baru apabila pemimpin kerajaan Sarawak enggan mengiktiraf masalah bahawa gadis Penan didera secara seksual oleh pembalak dan menolak penemuan laporan itu baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Parlimen, dihadiri 50 wakil NGO, Ahli Parlimen pembangkang, Majlis Peguam dan kedutaan.

Liu berkata, misi mencari bukti lanjut oleh Kumpulan Sokongan Penan, Forum-Asia dan Jaringan Wanita Bumiputera Asia mengunjungi tiga komuniti penan dan satu komuniti Kenyah turut menyenaraikan bukti diperoleh daripada 13 komuniti Penan lain.

Misi itu mendapati, wanita berkenaan sanggup berkongsi pengalaman masing-masing tetapi enggan melaporkan kepada pihak berkuasa atas dakwaan kurangnya respon polis terhadap laporan kes disebabkan ketiadaan dokumen pengenalan diri, masalah bahasa dan kos perjalanan.

Kes mendedahkan corak keganasan, gangguan, penculikan, rogol, serangan fizikal, penderaan emosi, paksaan berkahwin dan diabaikan dalam keadaan hamil.

"Dokumentasi membuktikan kesalahan oleh pihak yang menafikan kesahihan dakwaan mangsa di kalangan wanita Penan sebelum ini," tambahnya.

Pengurus pekerja sosial Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Wong Su Zane berkata, sesetengah wanita itu terpaksa berjalan keluar dari hutan selama dua hingga tiga hari bagi menemui 13 sukarelawan misi sepanjang 1 hingga 7 November tahun lalu.

"Ramai di antara mereka menangis dan masih amat berang disebabkan penderitaan yang terpaksa dilalui," katanya.

Menurut Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin, beliau akan membangkitkan usul kecemasan Isnin depan agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut dengan lebih lanjut.

Beliau juga berharap membangkitkan isu membabitkan tanah dan sosial berkaitan eksploitasi seksual.

Artikel Lain