suria

Pemandu Teksi Belajar Bahasa Asing

KUCHING: Tidak lama lagi, pemandu teksi di Sarawak akan mampu menyambut pelancong asing dengan menyapa mereka dalam bahasa ibunda masing-masing berikutan satu program pembelajaran bahasa asing yang disusun khas bagi mereka.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan berkata, kerajaan negeri bercadang menerbitkan buku kecil serta cakera padat (CD) bagi membantu mereka mempelajari bahasa asing terpilih seperti Mandarin dan Jerman.

Dr Chan, yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan berkata penerbitan buku kecil dan CD mengenai bahasa asing merupakan langkah terbaik bagi membantu pemandu teksi memahami frasa asas sesuatu bahasa.

"Mereka (pemandu teksi) boleh mempelajari bahasa berkenaan apabila mereka ada kelapangan atau sedang menunggu penumpang dengan mendengar CD atau membaca buku," katanya selepas pelancaran kempen teksi bermeter di sini, Selasa.

Beliau berkata, mempelajari bahasa melalui buku kecil dan CD lebih berkesan daripada segi kos berbanding mengadakan kursus.

Dr Chan berkata kementerian yang beliau terajui akan menerbitkan buku kecil dan CD berkenaan dengan secepat mungkin berikutan peningkatan ketibaan pelancong di negeri ini. - BERNAMA

Artikel Lain