suria

Pekerja Kilang Rogol Pelajar Dipenjara Tujuh Tahun, Sebat

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin memerintahkan seorang pekerja kilang simen menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan dua kali sebatan kerana merogol teman wanitanya yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan.

Hakim Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Ezad Ezuadi Othman, 29, selepas mendapati pembelaannya atas tuduhan merogol mangsa berusia 15 tahun 11 bulan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Hasbi juga berkata, hukuman yang keras perlu diberikan untuk menjadi pengajaran kepada semua supaya tiada yang akan mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak di bawah umur.

Beliau yang membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana akan memfailkan rayuan menetapkan jaminan tertuduh sebanyak RM6,000 dinaikkan kepada RM12,000 dengan syarat melaporkan diri di balai polis pada sabtu pertama setiap bulan.

Mohammad Ezad yang berasal dari Perlis didakwa merogol mangsa, seorang pelajar tingkatan empat di rumah sewanya di nombor B-5, Tingkat 2, Pangsapuri Palma, Bandar Country Homes, Rawang, dekat sini antara pukul 1.50 dan 2.20 petang, 3 Mac 2006.

Dia didakwa mempelawa mangsa untuk mengikutnya atas alasan mahu menghantarnya pulang.

Bagaimanapun, mangsa dibawa ke rumah tersebut dan ditampar dan diugut apabila enggan melakukan hubungan seks.

Mohammad Ezad didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Muiz Samsuri.

Artikel Lain