suria

Media Bebas Lapor Berita Benar

SHAH ALAM: Media bebas melaporkan pelbagai berita termasuk mengkritik pentadbiran kerajaan asalkan mempunyai asas yang benar tanpa mengandungi unsur fitnah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, laporan berita berunsur fitnah dan tidak benar hanya akan menyumbang kepada kemusnahan pemikiran dan nilai murni di kalangan masyarakat.

"Kalau sebut kelemahan (kerajaan) kita terima asalkan cerita itu benar, ada kredibiliti dan berintegriti... bukan cerita karut-mengarut, dusta, fitnah ataupun rekaan, tapi kebenaran.

"Tapi kalau kata sesuatu yang tidak benar, kita merosakkan akal budi dan pemikiran masyarakat kita," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Pelancaran Karangkraf Peduli dan Pelancaran Akhbar Sinar Harian Nasional di sini, Selasa.

Menurut Perdana Menteri lagi, jika nilai murni di kalangan masyarakat dirosakkan dengan pelbagai laporan berita yang tidak bertanggungjawab, ia akan menghalang usaha kerajaan untuk memajukan negara.

"Kalau kita merosakkan bangunan atau jalan kita boleh baiki, tapi merosakkan budi dan nilai masyarakat kita... padah kesannya.

"Kita tak mungkin dapat menjadi negara yang kuat dan hebat," katanya.

Tambah beliau semua pengamal media diingatkan supaya lebih beretika semasa menjalankan tugas bagi membantu kerajaan membina nilai murni di kalangan masyarakat di bawah Gagasan 1Malaysia.

"Jangan buat pembohongan, jangan reka cerita, jangan buat fitnah... laporan Felda Bangkrap itu fitnah," katanya.

Selain itu dalam ucapannya Najb turut memuji akhbar Sinar Harian yang kini dipasarkan di seluruh semenanjung Malaysia termasuk yang terbaru bagi edisi Johor kerana menyiarkan berita yang telus dan seimbang.

"Saya akui beritanya kadang-kadang lebih ke sana (pembangkang), kadang-kadang lebih kita... tapi saya harap lebih (kepada) kita sikit," katanya.

Artikel Lain