suria

Lim Guan Eng Diminta Hentikan Cakap-Cakap Berhubung Isu Pelabuhan Swettenham

PULAU PINANG: Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Tan Cheng Liang meminta Ketua Menteri Lim Guan Eng supaya menghentikan cakap-cakap berhubung isu wang membabitkan projek pembangunan semula pelabuhan Swettenham bernilai RM65 juta itu kerana ia telah dijawab beberapa kali.

Tan berkata beliau telah beberapa kali menjelaskan perkara itu tetapi Lim enggan faham dan terus menerus mempersoalkannya.

"Sebagai pengerusi majlis keselamatan negeri, Lim sepatutnya menyemak perkara itu dengan polis daripada tidak henti-henti bercakap soal itu kepada SPPP," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Tan mengulas laporan yang dibuat Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bagan Dalam A.Tanasekharan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)semalam.

Katanya perkara itu berkaitan tuntutan palsu oleh seorang kontraktor yang terbabit dalam projek itu dan ia tiada kena mengena dengan SPPP dan kerajaan pusat.

"Kerajaan negeri telah membuat laporan dengan SPRM, jadi mereka sepatutnya biar SPRM siasat dan kami sentiasa bersedia untuk membantu siasatan.

"Lim patut berhenti daripada memberikan persepsi yang salah bahawa kami telah "menelan" RM5.4 juta itu.

"Kenyataannya sekarang, perkara itu telah dilaporkan media dan ini menunjukkan SPPP mengamalkan ketelusan," katanya.

Pada Ogos 2008, Menteri Pengangkutan pada masa itu Datuk Seri Ong Tee Keat berkata kementerian mendapati wujud percanggahan beberapa hari selepas beliau memegang jawatan itu.

Ong berkata kontraktor itu menuntut RM5.4juta bagi bayaran kemajuan dalam dokumen bertarikh 21 Mac 2008 sedang nilai kerja berjumlah RM1.92juta. - BERNAMA

Artikel Lain