suria

MTUC Mahu Umur Bersara Swasta Dilanjutkan Ke 60 Tahun

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sekali lagi meminta kerajaan supaya menetapkan umur persaraan bagi sektor swasta kepada 60 tahun untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi.

Tanpa undang-undang khusus, sektor swasta tidak akan memberi sambutan terhadap syor melanjutkan usia tersebut kerana sektor swasta lebih melihat kepada faktor keuntungan, kata Setiausaha Agung MTUC G. Rajasegaran hari ini ketika mengulas laporan media mengenai kemungkinan kerajaan meningkatkan umur persaraan sektor awam dari 58 kepada 60 tahun.

Beliau berkata, sektor swasta tidak mengikuti langkah kerajaan dan pada masa ini umur persaraan bagi pekerja sektor swasta adalah 55 tahun bagi lelaki dan 45 tahun bagi perempuan.

"Memandangkan pekerja sektor swasta tidak menikmati faedah pencen, jumlah wang simpanan KWSP yang tinggi sudah tentu dapat membantu mereka menghadapi hari tua," katanya.

Industri juga akan dapat manfaat dari pekerja yang berpengalaman kerana mereka akan menyumbang untuk meningkatkan produktiviti, kata Rajasegaran.

Menurutnya, 100,000 pekerja dalam kedua-dua sektor, awam dan swasta bersara setiap tahun.

Rajasegaran berkata, satu lagi faedah apabila umur persaraan dilanjutkan adalah pihak industri boleh mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Pada masa ini, apabila pekerja tempatan bersara, pihak pengurusan akan mengambil pekerja asing dan dibayar gaji yang murah sebagai ganti, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain