suria

Malaysia Cadang D-8 Teliti, Perbetul Senarai Panjang Projek

ABUJA: Delegasi pegawai kanan Malaysia ke Sidang Kemuncak ketujuh Kumpulan Lapan Negara-Negara Islam Membangun (D-8) di sini semalam, menggesa pertubuhan itu supaya meneliti dan memperbetulkan sebahagian daripada senarai panjang cadangan projek bagi meningkatkan keberkesanan serta daya penarik pergerakan itu.

Ketuanya, Timbalan Ketua Setiausaha II Kementerian Luar Datuk Zainol Abidin Omar berkata beliau gembira apabila mendapati D-8 mula mengadakan mesyuarat yang sangat berguna dan menjalankannya dengan matlamat mendapatkan penyertaan daripada sektor swasta.

"Bagaimanapun, melihat kepada senarai mesyuarat yang kita ada, saya bimbang kita tenggelam dalam senarai panjang aktiviti dan terus tidak melaksanakannya," katanya ketika berucap pada pembukaan Sesi ke-28 Suruhanjaya D-8 yang akan berlangsung selama dua hari.

Suruhanjaya itu terdiri daripada pesuruhjaya atau pegawai kanan dan teknokrat yang dilantik oleh Kementerian Luar di setiap negara anggota.

D-8 yang ditubuhkan pada 1997 terdiri daripada negara Islam membangun iaitu Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Sebagai sebuah badan eksekutif dalam lingkungan D-8, Pesuruhjaya berkenaan akan melaksanakan resolusi dan peranan yang diamanahkan kepada setiap negara anggota.

Zainol Abidin berkata pertubuhan itu masih perlu mendapatkan penyertaan aktif sektor swastanya dan melabur dalam projek usahasama serta menubuhkan konsortium dengan rakan setugas mereka di negara-negara anggota.

Dalam hubungan ini, beliau berkata Malaysia ingin menggesa agar usaha diambil untuk menilai semula dan melaksanakan beberapa langkah pembetulan bagi meningkatkan keberkesanan serta daya penarik D-8.

Zainol Abidin turut mencadangkan negara-negara anggota mendapatkan khidmat pakar ekonomi dan peneraju perniagaan mereka bagi membantu D-8 dalam usaha menyusun semula keutamaan terhadap cadangan projek.

"Pada pendapat delegasi saya, kita boleh mewujudkan Kumpulan Tokoh Terkemuka terdiri daripada pakar ekonomi dan peneraju perniagaan, yang akan ditugaskan untuk meneliti senarai cadangan kita dan mengenal pasti cadangan yang boleh dilaksanakan sejajar dengan matlamat D-8 dan menggariskan bidang yang perlu diberi tumpuan di samping modus kerjasama yang dapat menarik penyertaan sektor swasta," kata beliau.

Beliau berkata sememangnya menggembirakan apabila Mesir, Iran dan Turki bersetuju mewujudkan sebuah kompleks baja secara usahasama di Mesir susulan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan kumpulan kerja D-8 yang pertama kali diadakan mengenai perikanan marin dan baja serta Mesyuarat Menteri-Menteri mengenai Perikanan Marin dan Baja, juga pertama kali diadakan, di Kaherah pada April lepas.

Mengenai kemajuan D-8, Zainol Abidin berkata beliau gembira apabila mendapati pertubuhan itu berjaya mendapatkan Perjanjian mengenai Pemudahan Prosedur Visa bagi Ahli Perniagaan D-8 untuk dikuatkuasakan.

Zainol Abidin turut mencadangkan supaya Prof Ir Widi Agoes Pratikto dari Indonesia yang ketika ini merupakan bakal Setiausaha Agung D-8, dibenarkan menyandang jawatan Setiausaha Agung ad-interim.

"Dalam hal ini, ia akan membolehkan Pratikto untuk melaksanakan tanggungjawab penting beliau sebagai Setiausaha Agung D-8 sebaik sahaja pelantikan beliau diluluskan pada sesi permulaan sidang kemuncak berkenaan, oleh itu memberi beliau peluang berucap pada Sidang Kemuncak ketujuh sebagai Setiausaha Agung kita yang baru," katanya.

Pratikto akan menggantikan Setiausaha Agung D-8 sekarang, Dr Dipo Alam bagi menamatkan tempoh penggal Indonesia memegang jawatan sehingga 31 Dis 2012.

Laporan menyebut Dr Alam telah pun dilantik sebagai salah seorang menteri Kabinet di Indonesia.

Pada majlis itu, Zainol Abidin menyerahkan jawatan pengerusi Suruhanjaya D-8 yang disandang oleh Malaysia sejak sidang kemuncak 2008 kepada Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Nigeria Dr Martin Uhomoibhi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain