suria

Kerajaan Diminta Pantau Lambakan Barangan Tiruan

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta meningkatkan pemantauan di samping mengambil tindakan terhadap aktiviti membawa masuk barangan tiruan ke dalam negara yang dikhuatiri mampu memberikan kesan negatif kepada masyarakat khususnya pengguna.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, sekiranya perkara itu tidak ditangani segera, ia mampu memberikan masalah besar kepada keselamatan pengguna.

Katanya, Malaysia kini menjadi tempat lambakan barangan palsu seperti beg tangan, kasut, baju, kosmetik, botol susu dan macam-macam lagi.

"Yang menghairankan saya bagaimana benda-benda ini boleh bolosi sempadan? Sudah sampai ke negara ini, bila sudah dipasarkan, barulah nak pantau, baru nak ambil tindakan," katanya membahaskan Rang Undang-Undang Pelindungan Pengguna (Pindaan) 2010 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bung Moktar berkata, sekiranya kerajaan benar-benar serius mengenai perkara itu dan ingin melindungi pengguna, kekurangan penguatkuasa tidak boleh dijadikan sebagai salah satu alasan.

Beliau berkata, pendekatan yang lebih agresif perlu dilaksanakan termasuk melibatkan kumpulan-kumpulan pakar bagi membendung lambakan barangan tiruan dalam negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain