suria

Kementerian Akan Kemuka Cadangan Pelarasan Gaji Anggota Tentera

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sedang menyediakan cadangan pelarasan gaji untuk meningkatkan gaji anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, usaha ini dilakukan supaya upah yang diterima setimpal dengan pengorbanan dan komitmen anggota tentera dalam tugas dan tanggungjawab mereka.

"Untuk pastikan siapsiaga dan tingkatkan moral anggota tentera, kementerian dalam peringkat akhir untuk kemukakan cadangan pelarasan gaji kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya ketika menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai cadangan meningkatkan gaji anggota tentera pada persidangan dewan hari ini.

Dr Abdul Latiff juga berkata, struktur gaji anggota ATM terbahagi kepada struktur gaji Pegawai dan struktur gaji anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

Katanya, struktur gaji Pegawai dibahagikan pula kepada dua kumpulan iaitu struktur gaji Pegawai Senarai Tugas Am dan struktur gaji Pegawai Senarai Tugas Ikhtisas.

"Struktur gaji bagi anggota LLP adalah berasaskan kepada sistem gaji band (Payband System) yang dikuatkuasakan sejak 1976. Ia terbahagi kepada lima band di mana band 1 adalah untuk tahap paling rendah manakala band 5 adalah tahap gaji tertinggi.

"Sistem gaji ini masih digunapakai dan diambil kira dalam menentukan perubahan gaji anggota LLP melalui Sistem Saraan Baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM)," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain