suria

Jabatan Agama Islam Diminta Pantau Ejen Urus Perkahwinan Di Thailand

KUALA LUMPUR: Jabatan agama Islam dan majlis agama Islam diminta memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap ejen tempatan yang menguruskan perkahwinan pasangan Islam secara rahsia di selatan Thailand.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kegiatan itu perlu dibendung bagi mengelakkan pasangan menghadapi masalah mendaftarkan pernikahan mereka di sini, sekali gus menimbulkan masalah lain pada masa hadapan.

"Walaupun hal ini sebagai satu permulaan awal, kalau ia berleluasa kesan sampingan itu akan ditanggung anak-anak dan isteri.

"Kesan daripada perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah kerugian di pihak wanita itu sendiri," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini hari ini.

Semalam sebuah akhbar melaporkan tentang kewujudan ejen-ejen tempatan yang menguruskan perkahwinan pasangan Islam secara rahsia dan dipercayai punca semakin ramai rakyat tempatan bernikah di selatan Thailand. Laporan itu turut menyatakan terdapat pelbagai laman web memaparkan pakej yang ditawarkan oleh ejen tersebut berpusat di Perak dan Lembah Klang tanpa memerlukan pasangan terbabit menguruskan sendiri pernikahan di Thailand.

Mengulas lanjut, Jamil berkata, antara masalah yang akan timbul jika pernikahan tidak didaftarkan ialah isu anak yang lahir daripada perkahwinan itu serta tuntutan harta sepencarian jika berlaku penceraian dan sebagainya.

Beliau juga menolak faktor syarat bernikah yang ketat di sini menyebabkan banyak pasangan melakukannya di luar negara.

Sebaliknya Jamil Khir berpandangan perkara itu berlaku kerana masalah yang dihadapi pasangan, selain sikap yang tidak mahu mematuhi peraturan negara.

Mengulas berkenaan pelakon Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudin Ramli yang mengaku berbogel di dalam filem terbitan Raja Azmi, "...Dalam Botol", Jamil berkata tindakan tersebut merupakan satu kesalahan dan ianya bukan sahaja melibatkan soal agama tetapi juga undang-undang.

"...di sudut undang-undang juga salah untuk tidak berpakaian," katanya.

Justeru, beliau akan meminta pihak bertanggungjawab yang berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memantau dan mengambil tindakan yang bersesuaian sama ada dalam bentuk peringatan atau dalam bentuk lain kepada pihak terbabit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain