suria

Felda Jadei Sasaran Kerana Ia Kekuatan BN: Mukhriz

KUALA LUMPUR: Kejayaan Felda meningkatkan sosio ekonomi Bumiputera telah menjadi satu kekuatan kepada Barisan Nasional (BN) dan perkembangan itu merupakan sebab kenapa ia menjadi sasaran akhbar lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, laporan bertajuk "Felda Bankrap" itu bermotifkan politik dan ia benar-benar tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

"Felda merupakan antara institusi yang begitu berjaya dan mempunyai dana tunai yang begitu besar, sehingga ia mampu melabur dalam projek yang besar-besar dan terus memberi faedah kepada warga Felda yang semakin besar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Adventure Kayak Race (AKAR) Jerlun di sini hari ini.

Katanya Felda, yang dimulakan semasa era perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, sejak itu telah menjadi satu benteng bagi BN.

"Felda telah banyak membantu orang Melayu dan ia menjadi satu kekuatan kepada BN, sebab itu mereka menjadikan institusi itu sebagai sasaran," kata Mukhriz.

Permohonan pembaharuan permit Suara Keadilan itu patut ditolak atau ia diberikan amaran agar mesej jelas dapat disebarkan bahawa bahawa laporan berita yang bertanggungjawab diperlukan bagi mengekalkan kebebasan akhbar, katanya.

Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun juga menyokong langkah Felda bagi menyaman RM200 juta dan mendapatkan permohonan maaf daripada PKR.

Sementara itu, Suara Keadilan akan terus diterbitkan pada minggu ini biarpun permitnya tidak diperbaharui Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 30 Jun lepas.

Pengarah strategi PKR Tian Chua berkata, keputusan itu diambil kerana KD Nbelum memberi keputusan konkrit mengenai status pembaharuan permit itu dan juga tidak pernah menyatakan bahawa permit itu ditamatkan.

"Ia (Suara Keadilan) hanya tamat tempoh, tidak bermakna permitnya ditarik balik, jadi berdasarkan kefahaman kami ia akan terus diterbitkan seperti biasa minggu ini," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain