suria

Empat Termasuk Dua Kanak-Kanak Maut Dalam Kemalangan

KEPALA BATAS: Empat orang termasuk dua kanak-kanak terbunuh selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Pantai Kamloon di sini kelmarin.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Negeri ASP Ahmad Ezzely Razali berkata dalam kejadian pukul 8.45 malam itu, sebuah kereta jenis Nissan Sentra terbabas sebelum bertembung dengan kereta jenis Kancil, yang dinaiki mangsa, dari arah bertentangan.

Kereta jenis Kancil yang dari Jalan Bumbung Lima menuju ke Jalan Pantai Kamloon dinaiki enam orang termasuk pemandu manakala kereta jenis Nissan Sentra itu hanya dinaiki pemandu.

Kesemua mangsa yang terbunuh di tempat kejadian dikenali sebagai Zambery Che Mey, 36, anaknya, Muhammad Firdaus, 5, dan anak saudaranya, Muhammad Nurhidayat Mohd Rozi, 14.

Manakala seorang lagi anak Zambery, Muhammad Faiz Akmal, 8, meninggal dunia meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, kira-kira pukul 6.30 pagi tadi," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Ahmad Ezzely berkata tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian mengalami cedera parah di bahagian kepala selepas tersepit dan Bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mereka dari kereta tersebut.

Katanya dua penumpang kereta iaitu anak Zambery, Muhammad Fakhrul Ikhwan, 6, dan anak saudaranya Muhammad Nizamuddin Mohd Nazri, 14, mengalami kecederaan dan dirawat di HSJ.

Katanya pemandu kereta Nissan Sentra, Zulkifly Md Fadzil, 22, turut cedera di kaki dan badan.

Ahmad Ezzely meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, kesemua mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lahar Ikan Mati, di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain