suria

Dr Zambry Ingatkan Anggota Umno Taktik Penyusupan Pembangkang

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sekali lagi mengingatkan anggota Umno di negeri itu agar berwaspada dengan penyusupan penyokong pembangkang ke dalam parti yang bertujuan melemahkan Umno.

Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, pihak pembangkang sekarang semakin terdesak kerana Umno semakin kuat.

"Mereka tahu kekuatan Umno di Perak semakin kuat jadi mereka akan cuba menggugat. Mereka akan bertindak dengan apa sahaja cara untuk memecahbelahkan parti," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perbadanan Taman Negeri di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataannya kelmarin bahawa pembangkang di Perak dikesan menjalankan strategi dengan menyusup masuk sebagai anggota Umno untuk memecahbelahkan parti dari dalam.

Katanya, langkah berhati-hati perlu diambil untuk mengelakkan Umno daripada berpecah belah kerana mereka yang menyusup akan bersifat 'talam dua muka' dan membuat kenyataan-kenyataan memancing serta bermain dengan sentimen kebencian.

Sementara itu, mengenai mesyuarat berkenaan, Dr Zambry berkata kerajaan negeri akan memohon peruntukan sebanyak RM20 juta daripada Kementerian Pelancongan untuk menyelia Taman Negeri Royal Belum yang akan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain