suria

Denda Sehingga RM1 Juta Jika Perdagangkan Orang

KUALA LUMPUR: Sesiapa yang mendapat keuntungan daripada kegiatan mengeksploitasi orang yang diperdagangkan akan dikenakan denda tidak kurang daripada RM500,000 sehingga RM1 juta berdasarkan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Perkara itu terkandung dalam Fasal 10, yang menaikkan denda bagi kesalahan itu yang sebelum ini menetapkan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM500,000 mengikut Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

Rang undang-undang itu, yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop untuk bacaan kali pertama, juga menetapkan bahawa segala keuntungan yang diperoleh daripada kesalahan itu oleh pesalah yang disabitkan juga boleh dilucuthakkan.

Rang undang-undang yang mempunyai 26 Fasal itu turut memasukkan bahagian baru iaitu Bahagian IIIA, ke dalam Akta 670 untuk menangani masalah yang timbul berkenaan dengan penyeludupan migran.

Seksyen-seksyen di dalam bahagian itu secara khusus menjadikan eksploitasi migran dan penjanaan keuntungan haram daripada pemerolehan kemasukan atau penetapan migran itu dengan menyalahi undang-undang sebagai suatu kesalahan.

Turut dipinda ialah Seksyen 63 Akta 670 untuk memperuntukkan penalti yang akan dikenakan terhadap sesuatu pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah akta ini.

Ia termasuklah penalti lebih berat bagi pesalah berulang dan jika pesalah itu bertindak secara bersesama dengan orang lain atau lebih daripada seorang semasa melakukan kesalahan itu.

Fasal 8 dalam rang undang-undang itu turut meminda Seksyen 6 bagi menukar nama Majlis Antipemerdagangan Orang kepada Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.

Keanggotaan majlis itu akan diperluas untuk memasukkan tidak lebih daripada dua orang dari organisasi bukan kerajaan atau organisasi lain yang relevan yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang sesuai dalam masalah dan isu-isu yang berhubungan dengan penyeludupan migran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain