suria

Apa Yang Diucap...

SATU perkara yang penulis pelajari ketika menjadi setiausaha akhbar kepada menteri beberapa tahun dahulu ialah pesanan yang diberikan oleh menteri kepada penulis; “Apa yang diucap hari ini akan menjadi dasar...”

Maka atas sebab itulah dalam semua ucapan rasmi yang dihadirinya, menteri penulis sentiasa memastikan beliau akan naik ke pentas bersama teks ucapannya. Tidak pernah walaupun sekali beliau menghadiri majlis rasmi atas kapasitinya sebagai menteri tanpa membawa teks ucapannya bersama-sama.

Walaupun pada hakikatnya beliau tidak akan membaca keseluruhan teks ucapan yang disediakan untuknya tetapi isi kandungan serta angka-angka yang terkandung di dalamnya tidak akan beliau ubah semena-mena.

Beliau sentiasa memastikan deraf teks ucapannya disediakan beberapa hari lebih awal kerana beliau sendiri akan menyemak kandungannya baris demi baris bagi memastikan ia tidak mengandungi fakta yang bercanggah dengan dasar kerajaan atau kementerian. Sementara fakta-fakta baru yang dimasukkan mestilah dijustifikasikan sebabnya dan mengapa ia dimasukkan.

Pada hari pertama penulis memulakan tugas sebagai setiausaha akhbarnya, pada 1 April 2004, beliau telah memaklumkan bahawa beliau bukanlah menteri yang memotong riben. Maknanya beliau bukan jenis menteri yang akan baca apa saja yang dibawakan kepadanya oleh pihak yang menganjurkan majlis. Walaupun beliau menyampaikan kata-kata itu dalam nada yang berjenaka tetapi maksudnya mendalam.

Malah beliau seorang yang memandang serius akan tugasnya sebagai seorang menteri. Beliau tiba di pejabat tepat jam 8.25 pagi dan tidak pernah lewat ke majlis. Malah beliau tiba 20 minit lebih awal. Beliau mengambil tahu setiap majlis yang dihadirinya.

Misalnya siapakah yang bakal menghadiri majlis berkenaan, berapa ramai yang akan hadir, latar belakang program dan apakah pengumuman yang sesuai untuk beliau sampaikan pada majlis berkenaan.

Pendek kata, beliau bukanlah jenis menteri yang hadir pada sesuatu majlis untuk memotong riben semata-mata tetapi majlis yang beliau hadiri itu mestilah diberi tambah nilai dengan ucapan yang bernas, berisi, menarik dan bermakna.

Sepanjang lima tahun penulis bertugas dengannya, tidak pernah penulis menjadi ‘tukang sampai’ teks ucapan beliau. Iaitu pihak penganjur menyediakan teks ucapan dan penulis menjadi tukang sampai kepadanya.

Sebaliknya semua teks ucapannya disemak kembali bersama-sama dengannya berulang kali, adakalanya di luar waktu pejabat, pada waktu malam, di dalam kereta dan ketika sedang makan tengah hari atau malam bersamanya sehinggalah segala-galanya sempurna.

Malah dari semasa ke semasa beliau mengingatkan penulis agar ‘menghitamkan’ bahagian-bahagian tertentu di dalam teks ucapannya supaya mudah dilihat dan dipetik oleh wartawan.

Manakala pada majlis-majlis tertentu beliau akan mengingatkan penulis agar mengepilkan ringkasan serta fakta-fakta penting seperti angka dan sebagainya agar mudah dipetik oleh para wartawan.

Maka atas sebab itulah sepanjang kariernya sebagai menteri, beliau tidak pernah disalah petik, disalah tafsir atau disalah laporkan. Malah ketika diadakan sidang akhbar selepas selesai sesuatu majlis, beliau akan menjawab soalan wartawan dengan terlebih dahulu merujuk kepada teks ucapannya.

Kesimpulannya, apa yang dijawabnya tidak akan lari atau tersasar dari apa yang terkandung di dalam teks ucapannya supaya senang para wartawan merujuk kembali jika mereka tersalah dengar atau tidak memahami apa yang beliau perkatakan.

Ini semua kerana beliau berpegang kepada prinsip asas bahawa setiap ucapan seorang menteri itu akan menjadi dasar yang suatu hari kelak akan dirujuk, digunapakai dan diterjemahkan dalam apa jua bentuk dan tujuan.

Hari ini walaupun penulis tidak lagi bertugas sebagai setiausaha akhbarnya tetapi penulis dapati, penganti penulis juga telah diajar dan dilatih untuk mengikuti langkah dan amalan yang sama iaitu sentiasa memastikan teks ucapan menteri disediakan lebih awal, disemak, diulang semak dan diperkemaskan sehinggalah ia menjadi teks ucapan yang sempurna.

Adalah tidak kena pada tempatnya untuk penulis memberi nasihat kepada menteri bagaimana hendak mengelak daripada tersalah cakap atau tersalah sebut perkara-perkara yang kemudian hari hanya akan memberi imej buruk kepada kerajaan.

Tetapi sukalah penulis menggalakkan agar semua setiausaha akhbar menteri mengambil pendekatan yang sama sepertimana penulis dan menteri penulis lakukan agar ucapan menteri mereka tidak disalah petik atau menteri mereka berkata sesuatu yang bakal memalukan pentadbiran.

Kita tidak mahu pentadbiran kerajaan dilabelkan sebagai pentadbiran ‘flip-flop’ kerana dasar yang berubah-ubah gara-gara menteri tersalah cakap, tersalah rujuk dan tersalah berucap. Ini semua pernah berlaku dan telahpun berlaku baru-baru ini.

ROZAID A. RAHMAN pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Menteri Pengajian Tinggi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain