suria

Wanita Umno Cadang Kanun Keseksaan Dipinda Bagi Menghukum Bapa Bayi Yang Dibuang

PETALING JAYA: Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kelana Jaya mencadangkan Kanun Keseksaan dipinda bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap lelaki yang menjadi pasangan wanita yang dihukum atas kesalahan membuang bayi.

Cadangan itu dikemukakan dalam satu daripada dua usul berkaitan sosial dan pendidikan yang dipersetujui sebulat suara pada persidangan perwakilan ketujuh pergerakan itu, di sini hari ini.

Anggota Wanita Umno Cawangan Kelana Baru Norshaireen Abd Khalid yang mencadangkan usul berkenaan berkata kerajaan perlu menyemak semula peruntukan undang-undang mengenai fenomena pembunuhan dan pembuangan bayi yang dilihat semakin berleluasa kini.

"Mengikut Kanun Keseksaaan Seksyen 309A dan 309B, tidak ada peruntukan hukuman dikenakan terhadap lelaki yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap perbuatannya yang mendorong kepada tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut.

"Kajian juga patut dilakukan supaya hukuman maksimum dikenakan terhadap ibu bayi tersebut kerana membunuh atau sengaja membuang dengan niat membunuh," katanya pada persidangan yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Senator Datuk Maznah Mazlan itu.

Seramai 218 perwakilan bahagian termasuk ketuanya Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin hadir pada majlis itu.

Persidangan itu juga turut menyokong usaha Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak-Anak Yatim Kuala Lumpur mewujudkan ruang khas menempatkan bayi bagi membolehkan mana-mana ibu terdesak yang tidak inginkan bayi mereka supaya dapat meninggalkannya dengan selamat di situ.

Anggota Wanita Umno Cawangan Penaga Baru Zawyah Ibrahim pula mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran menyediakan sukatan pelajaran yang sesuai sebelum mengambil keputusan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Kerajaan perlu ada kaedah untuk memastikan pada tiga tahap pertama persekolahan (tahun satu hingga tiga), murid-murid dapat menguasai 3M (menulis, membaca dan mengira) dan kaedah kemahiran lain dapat diperkenalkan untuk mengukur tahap kemahiran murid," katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR dan PMR mungkin dimansuhkan sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk menstruktur semula sistem pembelajaran yang dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan dan gagal menyediakan pendidikan holistik. - BERNAMA

Artikel Lain