suria

Umno Tidak Abai Kepentingan Bumiputera Dalam Perjuangan Parti

KUALA LUMPUR: Umno tidak pernah mengabaikan kepentingan Bumiputera dalam perjuangannya membela nasib rakyat, kata anggota Majlis Tertinggi (MT) parti itu Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun, katanya usaha ke arah meningkatkan golongan Bumiputera ke peringkat yang tinggi tidak harus dibebankan kepada kerajaan semata-mata tetapi hendaklah dengan kerjasama anggota parti dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau juga berkata banyak peluang pekerjaan akan disediakan apabila kerajaan mensasarkan menarik lebih ramai pelabur asing melabur dan syarikat gergasi membina ibu pejabat di negara ini, katanya ketika merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Segambut ke-16 di sini semalam.

"Peluang pekerjaan yang banyak akan memberi ruang untuk rakyat Malaysia lebih maju dan berdaya saing. Tapi ia tak mungkin berlaku kalau Bumiputera terpingir," katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mustapa berkata penekanan agenda Bumiputera dalam aspek pembangunan negara tidak bermaksud menafikan hak kaum lain tetapi ia adalah usaha untuk memastikan Bumiputera turut menikmati kejayaan yang sama seperti mereka.

Sementara itu, beliau turut menekankan kepentingan mendidik anak-anak Bumiputera dalam pelbagai bidang agar mereka tidak ketinggalan terutama dalam misi negara mencapai tahap pendapatan tinggi.

"Kita mahu anak-anak kita belajar sehingga ke peringkat tertinggi untuk kuasai ekonomi negara. Belajar selok-belok perniagaan supaya ada ilmu untuk perjuangkan nasib sendiri," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain