suria

PGM Patah Cubaan Seludup Mercun Dari Thailand

PENGKALAN KUBOR: - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 68 kotak mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM100,000 dari Thailand di Pantai Geting di sini, hari ini.

Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor DSP Tan Cheng San berkata, rampasan dibuat pukul 5 pagi ketika sekumpulan lelaki yang tidak dikenali sedang memunggah kotak-kotak itu ke pantai.

"Kumpulan lelaki itu bagaimanapun berjaya melarikan diri dalam gelap dan mereka meninggalkan kotak-kotak itu kira-kira 100 meter dari pantai," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Tan berkata, sebelum itu anggotanya membuat rondaan biasa ke perairan Laut China Selatan dari Kuala Tak Bai di sini ke Tok Bali di Pasir Putih bagi mengesan kegiatan penyeludupan yang biasa menggunakan jalan air.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat orang awam, anggota PGM berjaya mengesan sekumpulan lelaki yang sedang mengangkat kotak-kotak kertas ke pantai peranginan itu sebelum menyerbu dan merampas kotak-kotak itu.

"Tiada tangkapan dibuat dan mercun itu akan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Kastam untuk tindakan lanjut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain