suria

Perhimpunan Kedua GAS Dicemari Kekecohan

KLANG: Perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) hari ini dicemari kekecohan yang dicetuskan oleh sekumpulan 50 penyokong MIC yang mendakwa setia kepada Presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu.

Insiden itu berlaku di luar Dewan Hamzah dekat sini kira-kira 1.30 tengah hari apabila penyokong Presiden parti itu cuba menghalang orang ramai daripada menyertai perhimpunan berkenaan.

Menyedari kekecohan di luar dewan, penganjur majlis meminta beberapa pengikut mereka supaya meredakan keadaan tu namun kumpulan yang satu lagi enggan beredar, mengakibatkan tercetus pertengkaran, disusuli dengan pergelutan kecil.

"Jangan sekali-kali awak bercakap mengenai MIC. Jangan sekali-kali awak sebut nama Samy Vellu. Pergi dari sini, hentikan perhimpunan ini," kata salah seorang anggota kumpulan itu, yang dipercayai diketuai oleh Ketua Penerangan MIC Selangor L. Siva Subramaniam, bekas Pengerusi MIC cawangan Taman Maznah, S.Chandran dan bekas ketua MIC bahagian Klang K. Tharmalingam.

Bagaimanapun, keadaan kembali tenang apabila polis dipanggil bagi menghalang sebarang kejadian tidak diingini.

Menurut penganjur majlis, K. P. Samy, iaitu seorang anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang disingkirkan, beliau tidak dapat mengadakan perhimpunan secara aman seperti yang dirancang, dan menuduh Samy Vellu membawa masuk orang lain bagi mengganggu perhimpunan berkenaan.

"Apa yang kami mahu hanyalah melakar masa depan kaum India di negara ini dan mendapatkan sokongan mereka, sebelum menyerahkannya kepada Perdana Menteri," katanya.

Beliau turut menyerahkan memorandum empat muka surat yang memuatkan sembilan isu kepada media. Antara lain, memorandum itu menggesa kerajaan menurunkan had umur untuk mula bersekolah kepada lima tahun, mengurangkan cukai peribadi, mewujudkan tadika dalam lingkungan sekolah Tamil sedia ada, memulihkan semula banduan dan mentakrifkan semula kemiskinan.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan berkata perhimpunan hari ini merupakan satu kejayaan, berdasarkan kepada jumlah kehadiran.

"Kami akan terus berjuang bagi memastikan Samy Vellu segera meletak jawatan sebagai Presiden," katanya sambil menambah lebih 1,000 orang menghadiri perhimpunan itu.

Bekas anggota CWC MIC G. Kumar Aaman berkata, perhimpunan itu diadakan sejajar dengan falsafah bukan keganasan.

Perhimpunan berakhir kira-kira 3 petang, dua jam lebih awal dari jadual, atas nasihat polis.

Perhimpunan pertama GAS pada 30 Mei yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines, dihadiri oleh lebih 5,000 orang.

Pergerakan GAS dimulakan oleh Mugilan bagi mendapatkan 500,000 tandatangan daripada anggota MIC dari seluruh negara untuk mendesak Samy Vellu melepaskan jawatannya bulan ini, dan bukannya pada 2011. - BERNAMA

Artikel Lain