suria

Perdana V6: Pemilik Bengkel Bebas Dari Tuduhan Memalsu Tuntutan

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang pemilik bengkel yang dituduh memalsukan dokumen tuntutan berhubung penyelenggaraan Proton Perdana V6 Eksekutif milik kerajaan negeri tiga tahun lalu.

Hakim M.Bakri Abd Majid berkata Tor Kok Siong, 54, dibebaskan dari keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya tanpa perlu dipanggil membela diri.

Ketika membuat keputusan itu, M.Bakri berkata mahkamah menerima bantahan peguam bela tertuduh, Karpal Singh yang meminta mahkamah tidak menggunakan satu dokumen penting berkaitan kes itu yang didakwa Karpal dibekalkan kepadanya semasa kes berkenaan telah berjalan.

Menurut Karpal, dokumen yang bersabit dengan sesuatu kes perlu diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum sesuatu kes berjalan, bukannya semasa kes itu berlangsung.

Hakim berkenaan berkata beliau bersetuju dengan hujahan pihak pembelaan bahawa salinan dokumen yang menjadi sebahagian kes pendakwaan perlu dibekalkan sebelum perbicaraan bermula.

M.Bakri juga berkata pihak pendakwaan juga didapati gagal membuktikan secara konklusif pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Tor, pemilik bengkel kereta di Jalan Bukit Kechil di sini menghadapi empat pertuduhan membuat tuntutan palsu yang kesemuanya bernilai RM72,230.73.

Mengikut fakta kes, Tor dituduh memberikan invois CI No. 77456 mengandungi butiran palsu mengenai pembekalan sebuah 'PC Auto Transmission V6' berjumlah RM18,057.68 untuk kenderaan bernombor pendaftaran TAG 7979 kepada Pegawai Eksekutif Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Hashim Abdul Rahman pada Ogos 2007.

Dia juga dituduh menyerahkan invois CI No.78528 mengandungi butiran palsu mengenai pembekalan sebuah 'Auto Transmission V6' MD 9739975 berjumlah RM18,057.68 bagi Perdana V6 TT 3 kepada Pegawai Tadbir Pejabat SUK, A.Rahim Jusoh pada Jun 2008.

Bagi pertuduhan ketiga, Tor dituduh menyerahkan invois CI No. 75548 mengandungi butiran palsu mengenai pembekalan sebuah 'Auto Transmission V6' NOKP4A23-UPP3VO9608 berjumlah RM18,057.69 bagi Perdana V6 TT 7 kepada pegawai yang sama pada November 2006.

Dia turut dituduh menyerahkan invois CI 75982 mengandungi butiran palsu mengenai pembekalan sebuah 'Auto Transmission V6' berjumlah RM18,057.68 bagi kereta Perdana V6 TAG 8778 kepada Penolong SUK (Am/Kewangan), Zulkifly Isa pada November 2006.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di pejabat Dewan Undangan Negeri Terengganu dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Jika bersabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang boleh dipenjara tidak kurang 14 hari dan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili Timbalan Pendakwa Raya Fariza Hamzah.

April lalu, seorang lagi pemilik bengkel kereta dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan memalsukan dokumen tuntutan berhubung penyelenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif milik kerajaan negeri Terengganu itu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Khalid Abd Karim membuat keputusan tersebut terhadap Choong Yuen Sang, 49, setelah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes tersebut.

Pemilik bengkel di Chendering itu didakwa memberi invois mengandungi butiran palsu mengenai pembekalan satu set kotak gear transmisi automatik V6 bernilai RM19,119.91 untuk kereta bernombor pendaftaran TAK 415.

Invois itu didakwa diberikannya kepada Penolong Pegawai Tadbir Negeri, Hashim Abdul Rahman di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu pada 2 Ogos 2007.

Tor ketika ditemui pemberita berkata beliau gembira dilepaskan daripada pertuduhan itu apatah lagi mahkamah sendiri membuktikan beliau tidak bersalah. - BERNAMA

Artikel Lain